KUALA LUMPUR 26 Mei — Sejumlah 222 projek bernilai RM10.8 bilion dan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 di Johor hampir sedekad lalu masih belum dilaksanakan, kata Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Besar Johor itu berkata, projek-projek tersebut telah diluluskan pada 2016, tetapi ia terhenti dan masih dalam peringkat pra-pelaksanaan walaupun dana kerajaan telah diperuntukkan.
Tambahnya, kerajaan negeri memandang perkara ini sebagai satu perkara yang serius, kerana peruntukan untuk projek-projek itu telah diluluskan, namun kerja-kerja masih belum dijalankan.
“Bayangkan banyaknya projek pembangunan dan naik taraf melibatkan hospital, sekolah dan jalan raya yang belum sampai kepada rakyat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Onn Hafiz berkata, beliau sendiri telah membawa perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan pemimpin Persekutuan berkenaan ke Johor baru-baru ini.
Beliau menambah, setiap kali mesyuarat Majlis Tindakan Negeri, isu tersebut turut dibangkitkan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) diminta membuat susulan dengan kementerian terbabit.
Dengan kelulusan daripada Perdana Menteri sendiri, beliau memutuskan yang semua Exco kerajaan negeri tersebut akan bertemu dengan kementerian-kementerian yang terlibat dalam projek itu.
“Langkah berkenaan turut bagi memastikan projek-projek tersebut dapat dijalankan dengan secepat mungkin demi kepentingan rakyat negeri ini,” kata beliau yang juga ADUN Machap.
Pada masa sama, Onn Hafiz juga berterima kasih kepada Perdana Menteri yang meluluskan sebanyak sembilan projek utama dan dijangka memberi kesan manfaat besar kepada rakyat Johor.
Ini termasuk projek Hospital Sultanah Aminah 2 dan beberapa pembinaan lebuh raya sambil menambah, yang Anwar telah mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Khas Johor pada 23 Mei 2025.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerana daripada 10 projek yang kami minta, sembilan telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12," kata Onn Hafiz. - DagangNews.com








