Lebih 108,000 pembayar cukai guna e-Invois sehingga 21 November 2025, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 108,000 pembayar cukai guna e-Invois sehingga 21 November 2025, Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Nov – Seramai 108,000 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois, termasuk 64,317 pembayar cukai yang melaksanakannya secara mandatori setakat 21 November 2025.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, ia merangkumi 5,528 pembayar fasa pertama, 13,964 fasa kedua dan 44,825 fasa ketiga. 

 

“Selain itu, 44,000 pembayar cukai daripada fasa keempat dan kelima telah menggunakan e-Invois secara sukarela.

 

“Sejumlah 735 juta e-invois telah dikeluarkan setakat ini,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta penjelasan tahap pelaksanaan sistem e-Invois serta keberkesanannya dalam meningkatkan pematuhan cukai di Dewan Rakyat hari ini.

 

Kerajaan melaksanakan sistem e-Invois secara berfasa bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

 

Tambah Lim, inisiatif ini selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Ke-12 yang memberi fokus kepada pengukuhan infrastruktur perkhidmatan digital dan pendigitalan pentadbiran cukai.

 

“Pelaksanaan e-Invois meningkatkan kecekapan perniagaan, memudahkan pengemukaan borang nyata cukai, mengurangkan kesilapan manual, serta mendigitalkan pelaporan percukaian. 

 

“Langkah ini juga diharap dapat meningkatkan pematuhan cukai secara tidak langsung. Bagaimanapun, sistem masih dalam peringkat awal, memandangkan kerajaan memberi tempoh peralihan selama enam bulan bagi setiap fasa sebelum pelaksanaan mandatori,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kerajaan memperkenalkan fasa keempat bermula 1 Januari 2026 untuk perniagaan dengan jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta, manakala fasa kelima bermula 1 Julai 2026 untuk perniagaan dengan jualan tahunan RM500,000 hingga RM1 juta. 

 

“Perniagaan dengan jualan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada pelaksanaan, namun digalakkan untuk menyertai sistem e-Invois.

 

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut menyediakan Portal MyInvois dan aplikasi mudah alih secara percuma untuk memudahkan pelaksanaan e-Invois, termasuk sistem MyInvois e-POS yang membolehkan penjual mengeluarkan e-Invois secara langsung semasa transaksi atau selepas jualan.

 

“Selain itu, LHDN sentiasa menjalankan program kesedaran, sesi bimbingan, dan tutorial di seluruh negara untuk membantu peniaga kecil dan PMKS menggunakan sistem ini dengan lebih mudah dan berkesan,” katanya. - DagangNews.com