KUALA LUMPUR 3 Julai – Lau Sam Siong bukan lagi pemegang saham utama dalam syarikat pembuat baja, Cropmate Bhd berikutan penjualan 21 juta saham atau 2.845% pegangan dalam syarikat itu pada 1 Julai lalu melalui transaksi urus niaga luar pasaran.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, penjualan tersebut mengurangkan pegangan beliau kepada 3.767% berbanding 6.612% sebelum ini.
Harga transaksi tidak dinyatakan dalam pemfailan berkenaan dan data luar pasaran Bloomberg juga tidak menunjukkan sebarang dagangan saham Cropmate pada tarikh tersebut.
Namun, berdasarkan harga penutup saham Cropmate sebanyak 17 sen pada 1 Julai, blok saham yang dijual dianggarkan bernilai RM3.57 juta.
Cropmate disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Disember tahun lalu dengan harga Tawaran Awam Permulaan (IPO) sebanyak 20 sen sesaham.
Sam Siong adalah antara pemegang saham utama yang turut menawarkan saham dalam bahagian offer for sale semasa IPO dengan menyumbang lima juta daripada 50 juta saham yang ditawarkan.
Sebagai sebahagian daripada proses penyenaraian, beliau secara sukarela telah meletakkan moratorium selama enam bulan bagi menghalang penjualan saham miliknya.
Moratorium itu tamat pada 5 Jun lalu.
Pemegang saham utama lain dalam Cropmate ialah Pengarah Urusan, Lee Chin Yok yang memegang 29.45% kepentingan serta dua anaknya, Lee Cheng Fei (13.63%) dan Lee Cheng Seng (13.4%) yang kedua-duanya adalah pengarah eksekutif syarikat tersebut. - DagangNews.com








