Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kendali lebih 562,000 penumpang, meningkat 3.9% selepas naik taraf terminal - MAHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kendali lebih 562,000 penumpang, meningkat 3.9% selepas naik taraf terminal - MAHB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (KBR) di Kota Bharu, Kelantan merekodkan 562,081 pergerakan penumpang bagi tempoh Januari hingga April 2026, meningkat 3.9% berbanding tempoh sama tahun lalu susulan kejayaan peluasan dan pelancaran operasi terminal baharunya.

 

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, lapangan terbang itu mengendalikan 131,099 penumpang pada April, mencerminkan pertumbuhan berterusan trafik udara di Pantai Timur.

 

Menurut MAHB, pergerakan penumpang antarabangsa di KBR turut menunjukkan peningkatan stabil apabila mencecah 4,562 penumpang bagi empat bulan pertama tahun ini.

 

Katanya, trafik antarabangsa bulanan meningkat daripada 873 penumpang pada Januari kepada 1,381 penumpang pada April, iaitu kenaikan 9.9% berbanding Mac lalu.

 

“KBR kini mengendalikan laluan antarabangsa ke Singapura menerusi Scoot, manakala satu lagi sambungan antarabangsa ke Jakarta dijadual bermula pada Jun melalui AirAsia,” katanya.

 

MAHB berkata, peluasan lapangan terbang itu meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang dengan ketara sekali gus membolehkan lebih ramai pengguna menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

 

Katanya, kemudahan yang dinaik taraf serta keupayaan pengendalian lebih tinggi meletakkan KBR pada kedudukan lebih baik untuk menyokong pertumbuhan trafik masa depan dan memperkukuh kesalinghubungan serantau.

 

“Sebagai sebahagian daripada rangkaian Malaysia Airports yang lebih luas, lapangan terbang baharu itu dijangka menyumbang secara positif kepada pertumbuhan jangka panjang ekosistem penerbangan negara,” katanya.

 

t

 

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pertumbuhan berterusan rangkaian lapangan terbang syarikat itu mencerminkan kekuatan strategi jangka panjang kumpulan berkenaan.

 

“Pertumbuhan itu dipacu pembangunan infrastruktur utama termasuk peluasan KBR, pengukuhan hubungan syarikat penerbangan serta penambahbaikan perkhidmatan di seluruh rangkaian lapangan terbang kendalian MAHB.

 

“Usaha ini menyokong komitmen kami untuk membina rangkaian lapangan terbang yang lebih berhubung, berdaya tahan dan kompetitif yang menyumbang kepada pertumbuhan negara, pelancongan, perdagangan dan kesalinghubungan,” katanya.

 

Secara keseluruhan, rangkaian lapangan terbang tempatan merekodkan 8.1 juta pergerakan penumpang pada April, menjadikan jumlah keseluruhan bagi tempoh Januari hingga April 2026 sebanyak 35.5 juta pergerakan penumpang, meningkat 7.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

KLIA pula mengendalikan 5.2 juta pergerakan penumpang pada April dan 22.1 juta penumpang bagi empat bulan pertama tahun ini, mewakili pertumbuhan 10.9% tahun ke tahun.

 

Bagaimanapun, berbanding Mac 2026, rangkaian lapangan terbang tempatan merekodkan penurunan 10.6% dalam pergerakan penumpang pada April manakala KLIA susut 7.2%, disebabkan permintaan perjalanan luar biasa tinggi ketika musim Hari Raya selain pelarasan operasi beberapa syarikat penerbangan susulan situasi di Timur Tengah.- DagangNews.com