KUALA LUMPUR 12 Ogos – Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) memperkenalkan kemudahan sistem daftar masuk beg layan diri (SSBD) bagi memendekkan masa daftar masuk bagasi kepada kurang 30 saat.
Pada peringkat awal, kemudahan itu dilaksanakan di kaunter B9 hingga B12 yang digunakan oleh penumpang Malaysia Airlines dan Firefly.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, inisiatif itu sejajar usaha memperluas transformasi digital di lapangan terbang di seluruh negara, selepas pelaksanaannya berjaya dilakukan di beberapa lokasi yang lain.
“Sistem SSBD membolehkan penumpang yang telah mendaftar masuk secara dalam talian dan mencetak tag bagasi untuk terus meletakkan beg di mesin khas tanpa perlu beratur panjang di kaunter.
“Proses ini bukan sahaja mempercepatkan urusan daftar masuk, malah membantu mengurangkan kesesakan di terminal terutama pada musim cuti dan waktu puncak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, sistem SSBD telah diperkenalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Pelaksanaannya telah melalui fasa ujian sistem yang menyeluruh serta latihan kepada petugas barisan depan bagi memastikan peralihan yang lancar dan kualiti perkhidmatan yang konsisten.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pelaksanaan SSBD di KKIA merupakan sebahagian daripada pelan naik taraf perkhidmatan penumpang yang akan diperluaskan secara berperingkat di lapangan terbang lain.
“Dengan kadar masa proses yang singkat, kemudahan ini mampu meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang sekaligus memberi pengalaman perjalanan lebih lancar dan selesa,” katanya. - DagangNews.com








