Lapan bank sediakan mekanisme pengurusan risiko tukaran asing biaya projek ECRL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lapan bank sediakan mekanisme pengurusan risiko tukaran asing biaya projek ECRL

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 MacMalaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai perjanjian penyediaan mekanisme pengurusan risiko pertukaran mata wang asing (forex) untuk pembiayaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Majlis perjanjian 'Joint Lead Coordinator' (JLC) itu disertai lapan institusi perbankan dan disaksikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak.


Ia melibatkan Malayan Banking Berhad, CIMB Group Holdings Berhad, RHB Bank Berhad, AmBank Group, Bank of China, United Overseas Bank, China Construction Bank dan Industrial Commercial Bank China.


"MRL sebagai pemilik projek manakala pemeteraian perjanjian JLC itu merupakan langkah strategik untuk memperkukuh kerangka pengurusan pembiayaan projek," kata syarikat tersebut dalam kenyataan. 


Tambahnya, usaha berkenaan bakal dilaksanakan melalui mekanisme pengurusan risiko forex yang lebih tersusun, telus dan berdisiplin bagi rumusan pinjaman dalam bentuk mata wang renminbi (RMB) China.


Langkah itu juga inisiatif pertama di Malaysia melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagai penanda aras pengurusan kewangan projek infrastruktur berskala besar pada masa depan.

 

ECRL


Perjanjian ini kata MRL, dijangka meningkatkan kepastian kadar forex serta mengurangkan pendedahan kepada turun naik pasaran, yang memastikan aspek pengurusan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.


"Tindakan itu selaras amalan terbaik pasaran kewangan antarabangsa,” menurut kenyataan itu. Projek ECRL sepanjang 665 kilometer dengan 20 stesen melibatkan kos pembangunan sekitar RM50.27 bilion.


Bagi pembiayaan projek, MRL yang merupakan anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) meraih pinjaman berjangka RM37.4 bilion daripada Export-Import Bank of China pada kadar faedah 3.25%.


Pada majlis yang sama, Amir Hamzah turut merasmikan penyempurnaan pembinaan landasan utama ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor yang merangkumi jajaran sepanjang 519 kilometer.


Menurut MRL, projek rel tersebut kini sudah mencapai kemajuan pembinaan 92.62% setakat Februari 2026, selari dengan sasaran penyiapan seluruh jajaran Kota Bharu–Gombak menjelang akhir tahun ini.


"Operasi dijadualkan bermula Januari 2027, manakala laluan antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijangka siap menjelang Disember 2027 sebelum beroperasi pada Januari 2028," katanya. - DagangNews.com