Lapan Ahli Parlimen PKR desak PM gantung tugas Azam Baki, sedia adakan himpunan aman dengan BERSIH suarakan bantahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lapan Ahli Parlimen PKR desak PM gantung tugas Azam Baki, sedia adakan himpunan aman dengan BERSIH suarakan bantahan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Feb - Lapan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan menyegerakan siasatan bebas serta telus ke atas beliau berkait dakwaan pemilikan saham.

 

Dalam satu kenyataan hari ini mereka berkata, tidak berbaloi kepada Pakatan Harapan (PH) dan Anwar untuk dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang atas tuduhan-tuduhan yang melibatkan seorang penjawat awam.

 

Serentak dengan tuntutan itu, mereka turut memberikan amaran akan melakukan beberapa tindakan termasuk mengajak BERSIH mengadakan satu perhimpunan aman bagi menyuarakan bantahan mengenai penyelewengan itu, jika tiada respons positif daripada kerajaan.

 

Lapan ahli Parlimen PKR tersebut ialah Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Tan Kar Ming (Gopeng) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

 

Rfizi Azam

 

Menurut kenyataan itu, tindak balas dan reaksi kerajaan khususnya Perdana Menteri akan diikuti dengan teliti memandangkan rakyat sudah pernah melalui cubaan mengelak atau menutup apabila sesuatu skandal besar didedahkan.

 

"Kami percaya rakyat akan benar-benar marah apabila mengetahui dengan lebih mendalam bentuk-bentuk penyelewengan yang berlaku.

 

"Setakat ini laporan media tempatan hanya menyebut perihal salah laku secara umum, tanpa menceritakan setiap kes dan bukti yang didedahkan di dalan siri laporan tersebut," kata kenyataan itu.

 

Menurut kenyataan itu lagi, beberapa contoh kes penyelewengan yang dilaporkan sudah cukup untuk meyakinkan rakyat bahawa satu siasatan yang bebas dan telus perlu disegerakan.

 

“Antaranya, pertama seorang individu disiasat atas tuduhan terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM500 juta dengan menggunakan syarikat-syarikat senaraian awam.

 

“Kes disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tahun 2021 dan siasatan dibuat bersama-sama dengan SPRM. Walau bagaimanapun, kes itu berakhir tanpa pendakwaan dan sebahagian besar dari wang RM500 juta itu dikembalikan kepada individu itu,” ujar kenyataan tersebut.

 

Sementara itu tindakan lain yang dirancang diadakan bermula minggu depan sehingga kerajaan memberikan reaksi positif ialah menulis surat kepada semua ahli Parlimen merentas parti untuk mendapatkan persetujuan mereka kepada desakan supaya Azam Baki digantung tugas serta merta dan satu siasatan bebas dimulakan segera.

 

"Sebagai solidariti ahli-ahli Parlimen, kami menggesa semua ahli Parlimen tidak mengira parti kembali ke kawasan masing-masing dan memulakan sesi penerangan kepada penduduk kawasan mereka.

 

"Kami akan menulis kepada pemimpin DAP dan Amanah supaya menggunakan pengaruh dan kedudukan mereka di dalam kerajaan menekan Perdana Menteri supaya setuju menggantung tugas Azam Baki.

 

"Saya (Rafizi) akan membuat laporan polis terhadap Azam Baki sebagai susulan kepada dakwaan dalam laporan Bloomberg bahawa beliau telah campur tangan dalam satu kes melibatkan senjata api, supaya PDRM boleh menyiasat dengan sebaiknya," kata kenyataan itu. - DagangNews.com