Langkah Tata ambil alih kilang di Malaysia dijangka tingkatkan sektor teknologi — PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah Tata ambil alih kilang di Malaysia dijangka tingkatkan sektor teknologi — PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Jun —  Kemasukan Tata Electronics ke Malaysia melalui pengambilalihan kilang fabrikasi, pemasangan dan ujian semikonduktor dijangka meningkatkan sektor teknologi negara dengan ketara, kata PublicInvest Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah strategik syarikat asing berkenaan bakal menggiatkan potensi bahagian pasaran global Malaysia dalam perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian cip yang penting.


Tata Electronics, anak syarikat milik penuh Tata Sons, merupakan pengilang semikonduktor bersepadu antara terkemuka di dunia, dengan keupayaan kukuh merangkumi pembuatan elektronik, semikonduktor dan perkhidmatan reka bentuk.


"Ia memainkan peranan penting ketika isu tarif Amerika Syarikat (AS) sebagai pemasang utama dan pengeluar komponen dalam rantaian bekalan iPhone Apple, serta muncul pesaing rapat kepada Foxconn Taiwan," katanya dalam satu nota. 


Syarikat Apple turut telah meletakkan Tata Electronics sendiri yang berpangkalan di India sebagai hab pembuatan alternatif kepada China, apabila ketegangan perdagangan antara AS dan China semakin memuncak beberapa bulan lalu.


Ini tambah PublicInvest, adalah sebahagian strategi Apple yang lebih luas untuk mewujudkan India sebagai pusat pembuatan alternatif kepada China, dengan India kini menyumbang kira-kira 18 peratus kepada pengeluaran iPhone global.


Inisiatif pemerolehan kilang di Malaysia kata firma tersebut, berpotensi diterajui sendiri oleh Presiden Tata Semiconductor Manufacturing, KC Ang, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Naib Presiden Operasi di SilTerra Malaysia.


"Berdasarkan pemahaman kami, perbincangan dengan pelbagai syarikat Malaysia telah dijalankan sejak April 2025 dan potensi pengambilalihan akan membolehkan Tata memanfaatkan ekosistem matang Malaysia pula," kata firma berkenaan. 


Langkah ini juga tambahnya, membantu Tata Electronics mengurangkan risiko berkaitan dengan tarif semikonduktor semasa, dan menyediakan platform pelbagai bagi memberi perkhidmatan kepada asas pelanggan global lebih luas.


PublicInvest berkata, syarikat seperti Globetronics Technology dan SilTerra yang dimiliki 60 peratus oleh DNeX, dianggap sebagai sasaran pengambilalihan Tata yang menarik kerana kos kemasukannya agak rendah. - DagangNews.com