KUALA LUMPUR 25 Nov - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) menunjukkan perkembangan positif pada suku terkini apabila beberapa pemangkin strategik syarikat mula menunjukkan kesan nyata, sekali gus menyuntik keyakinan baharu terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu, menurut penganalisis.
Menurut MBSB Research, berdasarkan laporan prestasi suku tersebut, segmen simen mencatat pertumbuhan hasil kukuh sebanyak 24% suku ke suku (qoq), diikuti penyelenggaraan jalan yang melonjak 38.9% qoq, manakala pembangunan hartanah pula merekodkan peningkatan melebihi 100% qoq.
"Lebih memberangsangkan, margin keuntungannya turut bertambah baik – margin simen melebar kepada 25.8%, penyelenggaraan jalan kepada 15%, dan pembangunan hartanah kepada 10.1%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Prestasi positif itu mendorong MBSB mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan, dengan jangkaan suku keempat FY25 bakal lebih mantap.
Seterusnya, saranan BELI dikekalkan bersama harga sasaran RM1.49, berdasarkan EPS FY26F sebanyak 14.2 sen dan purata PER dua tahun sebanyak 10.5x.
Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) percaya pentauliahan loji fosfat CMS pada September 2025 akan memberi impak positif yang ketara kepada pendapatan bermula 4Q25.
"Dengan pengeluaran fosfat dijangka bermula, kami menjangkakan kerugian segmen ini akan mengecil dan mungkin kembali mencatat keuntungan mulai 4Q25.
"Segmen pembangunan hartanah juga akan mendapat manfaat daripada pembangunan Borneo Convention Centre Kuching II (BCKKII) bernilai MYR550 juta. Pembangunan BCKKII yang bermula pada 3Q25 dijangka siap pada 1Q28," katanya.
Maybank berkata, walaupun keputusan 3Q25 dan 9M25 sekali lagi berada di bawah jangkaan firma, namun firma itu mengekalkan unjuran pendapatan serta TP MYR1.66 berasaskan 12x PER FY25E (diskaun 10% kepada purata jangka panjang 12 bulan ke hadapan).
CMS melaporkan keuntungan bersih teras (CNP) 3Q25 sebanyak MYR34.2 juta. Tidak termasuk kerugian forex tidak direalisasi, CNP 3Q25 membawa jumlah CNP 9M25 kepada MYR86.6 juta, iaitu hanya 58% daripada anggaran FY kami.
Katanya, CNP 3Q25 susut 48% YoY disebabkan kos pra-operasi lebih tinggi di segmen fosfat dan pengurangan aktiviti pelantar gerudi di kebanyakan pasaran yang menjejaskan segmen oiltools.
Walau bagaimanapun, CNP 3Q25 meningkat 61% QoQ apabila segmen simen dan penyenggaraan jalan (dua penyumbang pendapatan terbesar) dilihat pulih daripada cuaca lebih lembap pada 1Q25 dan 2Q25, manakala kerugian sebelum cukai teras segmen fosfat mengecil sedikit QoQ kepada MYR21.6 juta (2Q25: MYR23.6 juta). - DagangNews.com








