KUALA LUMPUR 2 Sept – Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, walaupun kerajaan meneruskan langkah konsolidasi fiskal, kerajaan tetap berusaha untuk menguatkan jaringan sosial dan memastikan tiada rakyat terpinggir meskipun kos sara hidup meningkat.
Katanya, seiring dengan Kerangka Ekonomi MADANI untuk menaikkan lantai, kerajaan akan terus memperkenalkan pelbagai pakej bantuan yang komprehensif untuk semua lapisan rakyat.

"Kerajaan melalui Belanjawan Tahunan, menyediakan pelbagai langkah pelepasan cukai individu yang secara amnya adalah untuk manfaat golongan M40 seperti pelepasan untuk anak-anak, perbelanjaan perubatan, gaya hidup, potongan KWSP, potongan PERKESO dan yuran penghantaran anak ke taska.
"Bagi pinjaman perumahan, melalui Belanjawan 2025 telah memperkenalkan pelepasan baharu di mana bayaran faedah pinjaman rumah kediaman pertama (dimiliki sendiri atau bersama) sehingga RM7,000 bagi rumah kediaman bernilai sehingga RM500,000 dan RM5,000 bagi rumah kediaman bernilai di antara RM500,000 dan RM750,000" katanya menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu Senator Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman bertanyakan tentang langkah intervensi fiskal yang dilakukan secara khusus bagi membantu golongan M40 menguruskan komitmen kewangan, khususnya pinjaman perumahan, pendidikan anak-anak dan penjagaan kesihatan memandangkan mereka juga merupakan penyumbang utama kepada kutipan cukai negara
Amir Hamzah berkata, kerajaan juga telah meningkatkan pendapatan rakyat melalui perintah gaji minimum, Dasar Gaji Progresif dan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang secara langsung membantu meningkatkan pendapatan boleh guna bersih rakyat.
"Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
"Dengan demikian, RMK13 akan menjadi asas kepada pembaharuan ekonomi dengan tumpuan pada pembangunan inklusif, seimbang, dan mampan," katanya.
Amir Hamzah berkata, setakat ini kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pakej bantuan yang komprehensif termasuk peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, ini termasuk tambahan RM2 bilion Penghargaan SARA secara one-off yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai 2025.
"Peruntukan sejumlah RM1 bilion disediakan bagi menangani kos sara hidup dengan lebih meluas termasuk pengawalan harga bahan asas seperti beras dan minyak masak seperti Program Payung RAHMAH yang telah disediakan peruntukan sebanyak RM600 juta bagi tahun 2025.
"Jualan RAHMAH diperhebatkan lagi bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan memanfaatkan semua golongan termasuk golongan M40," katanya.
Amir Hamzah berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan subsidi bahan asas yang lain termasuk subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS), subsidi elektrik, subsidi diesel bersasar serta pemberian Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI yang membantu menstabilkan harga barang.
Katanya, sebahagian besar rakyat akan terus menikmati subsidi bahan api dengan penyasaran subsidi RON95 kelak.
"Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 berjumlah RM791 juta disediakan tanpa mengira golongan dalam menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak.
"Inisiatif Pas Bulanan My50 yang diperkenalkan turut meringankan beban kewangan kepada rakyat yang menggunakan pengangkutan awam," katanya. - DagangNews.com








