Lambretta buka premis jualan pertama di Perak, yakin pikat pasaran penggemar skuter | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lambretta buka premis jualan pertama di Perak, yakin pikat pasaran penggemar skuter

Model terkini Lambretta X250.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 30 Dis - Lambretta, jenama skuter ikonik dari Itali membuka cawangan tunggalnya di Perak bagi mendekatkan kenderaan dua roda itu kepada peminatnya di sebelah sini.

 

Terletak di kawasan perniagaan Medan Pulai Hartamas di sini, ia berada di lokasi strategik iaitu di Jalan Gopeng-Ipoh dan premis ini telah beroperasi sejak Oktober lalu.

 

Lambretta Ipoh dimiliki Chuan Keat Motor Trading Sdn. Bhd. (CKT) yang merupakan antara peneraju dalam perniagaan automotif khususnya motosikal berjenama yang diasaskan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada tahun 2014.

 

Pengurus jualan Lambretta Ipoh, Muhammad Aiman Fahmi Norrizal berkata, ini merupakan cawangan Lambretta yang keenam di Malaysia.

 

 

Perak
Premis jualan Lambretta Ipoh yang terletak di Medan Pulai Hartamas dekad Jalan Gopeng-Ipoh.

 

Menurut beliau, Lambretta Malaysia telah membuka lima kedai rasmi yang terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching termasuklah Ipoh.

 

“Jenama motosikal Lambretta sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi, malah Lambretta merupakan pencetus dan peneraju dalam segmen skuter antarabangsa.

 

“Sejak tahun 60an, Lambretta telah dikenali pada masa itu, justeru dengan adanya premis jualan skuter ini di Ipoh ia diyakini dapat memikat pasaran dan menarik lebih ramai penggemar,” ujarnya kepada Dagang News.

 

Lambretta kembali ke pasaran Malaysia sejak Mei lalu dengan pelancaran model-model terbaharu yang lebih segar selain menepati trend permotoran semasa.

 

 

Perak

 

Perak
Lambretta Ipoh turut menyediakan khidmat lepas jualan termasuk penyelenggaraan dan pembaikan.

 

Antara model terkini ialah X250 yang dilengkapi dengan enjin 250cc dan ditawarkan pada harga bermula dari RM22,900. 

 

Seterusnya model G350 menampilkan enjin 330cc dengan harga bermula daripada RM29,800. 

 

Muhammad Aiman Fahmi juga yakin dengan status Ipoh sebagai bandar raya hipster dan bandar seni secara tidak langsung menaikkan populariti Lambretta kepada semua peringkat usia.

 

Jelasnya lagi, premis tersebut juga merupakan pusat sehenti Lambretta yang turut menyediakan khidmat lepas jualan termasuk penyelenggaraan.

 

 

Perak

 

“Selain daripada servis jualan, kedai kami berusaha menyediakan khidmat lepas jualan untuk memudahkan urusan pelanggan.

 

“Kita mempunyai khidmat selenggaraan dan pembaikan, tuntutan jaminan, memperbaharui insurans dan kutipan bayaran bulanan pelanggan,” ujarnya. - DagangNews.com