KUALA LUMPUR 26 Mac – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) muncul sebagai pemegang saham utama dalam Sunway Healthcare Holdings Berhad selepas memiliki 589.81 juta saham atau 5.13% kepentingan langsung dalam syarikat itu.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, pegangan tersebut diperoleh melalui beberapa transaksi termasuk pengagihan dividen dalam bentuk saham, penyertaan dalam tawaran awam permulaan (IPO), pembelian tambahan serta pelupusan sebahagian kecil saham.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 62.97 juta saham diperoleh melalui pengagihan dividen in-specie, manakala 499.81 juta saham lagi diperoleh semasa IPO syarikat berkenaan yang berlangsung minggu lalu.
Berdasarkan harga IPO sebanyak RM1.45 sesaham, nilai langganan itu dianggarkan berjumlah RM724.72 juta.
Selain itu, dana persaraan terbesar negara itu turut membeli tambahan 34.61 juta saham di pasaran terbuka, namun pada masa sama melupuskan 7.57 juta saham sebagai sebahagian daripada pelarasan portfolio pelaburannya.
Kesemua pegangan saham tersebut didaftarkan di bawah Citigroup Nominees (Tempatan) Sdn Bhd yang bertindak sebagai pemegang amanah bagi pihak KWSP.
Dengan pegangan tersebut, KWSP kini menjadi pemegang saham kedua terbesar dalam syarikat itu selepas Sunway yang memiliki 69.4% kepentingan melalui SunCity.
Langkah pengumpulan saham ini mencerminkan keyakinan KWSP terhadap prospek jangka panjang sektor penjagaan kesihatan, khususnya melibatkan operasi dan pengembangan Sunway Healthcare Holdings Berhad.
Perkembangan ini juga mengukuhkan kedudukan KWSP sebagai antara pelabur institusi utama dalam syarikat tersenarai di Malaysia, khususnya dalam sektor bernilai tinggi dan berorientasikan pertumbuhan. - DagangNews.com








