Kumpulan Perangsang Selangor catat keuntungan bersih RM21.09 juta suku terkini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kumpulan Perangsang Selangor catat keuntungan bersih RM21.09 juta suku terkini

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 25 NovKumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) mencatat lonjakan dalam keuntungan bersih kepada RM21.09 juta, berbanding RM4.55 juta pada suku sama tahun lalu, dipacu keuntungan RM10.5 juta hasil pelupusan loji Nilai milik CBB.

 

KPS turut menikmati penurunan RM9.5 juta dalam kerugian bersih pertukaran mata wang, manakala kos kewangan menyusut RM2 juta selepas penyelesaian penuh Sukuk pada Julai 2024 serta pembayaran tahunan pinjaman berjangka pada Ogos.

 

Bagaimanapun, hasil suku tahunan merosot 2.5% kepada RM268.72 juta, berbanding RM275.63 juta sebelumnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2025, KPS mencatatkan keuntungan bersih RM42.25 juta, susut 35% daripada RM64.99 juta, manakala hasil turun 4.6% kepada RM781.10 juta daripada RM818.49 juta.

 

Dalam kenyataan hari ini, KPS berkata ia kekal komited memperkukuh prestasi operasi serta meningkatkan sumbangan syarikat portfolio meskipun berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar.

 

Menurutnya, pengenalan tarif baharu oleh Amerika Syarikat telah melembapkan sentimen pengguna, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan sektor elektronik, automotif dan penjagaan kesihatan.

 

Sektor pembungkusan pula terus tertekan akibat persaingan sengit daripada pengeluar China melalui eksport kos rendah yang membawa kepada lambakan produk, tekanan harga serta pengalihan pasaran daripada pemain tempatan.

 


Pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan, Ahmad Fariz Hassan berkata syarikat sedang melaksanakan langkah mitigasi bagi mengurangkan kesan sentimen pasaran lemah, termasuk memacu pertumbuhan melalui kepelbagaian geografi, industri serta peluasan penawaran kepada pelanggan sedia ada.

 

Katanya, pembangunan perniagaan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan Toyoplas, CPI, MDS Advance dan CBB berjaya menambah pelanggan dan memperoleh projek baharu merentasi subsektor seperti permainan kanak-kanak, instrumen muzik, peralatan makmal, pengecas EV dan penyelesaian automasi.

 

Aqua-Flo turut mengukuhkan kedudukannya dengan memperoleh dua kontrak rangka tiga tahun daripada Air Selangor, bernilai RM53.1 juta dan RM78.1 juta bagi pembekalan bahan kimia rawatan air.

 

“Usaha kolektif ini menyokong strategi kumpulan memperluas capaian pasaran, memperdalam hubungan pelanggan dan mempelbagaikan sumber hasil untuk memacu pertumbuhan mapan.

 

“Pelupusan loji Nilai CBB membuktikan pendekatan penstrukturan semula yang proaktif, membolehkan kami menyusun semula modal kepada segmen yang menawarkan pulangan dan potensi pertumbuhan lebih tinggi,” katanya. - DagangNews.com