KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kualiti audit firma dan juruaudit di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menunjukkan peningkatan ketara dengan jumlah kes penguatkuasaan ke atas tugasan yang diperiksa berkurangan kepada lapan peratus tahun lalu berbanding 16% pada tahun sebelumnya.
SC dalam kenyataan berkata, dapatan tersebut terkandung Laporan Pemeriksaan Tahunan 2024 yang dikeluarkan Lembaga Pemantauan Audit (AOB).
"Ini mencerminkan usaha positif firma audit dan juruaudit individu untuk meningkatkan kualiti audit," kata kenyataan itu.
Pemeriksaan AOB pada tahun 2024 termasuk penilaian 40 rakan kongsi dan 40 tugasan audit merentas 13 firma audit, yang merangkumi Firma Audit Utama.
Secara keseluruhan, sembilan Firma Audit Utama ini mengaudit sebanyak 76% daripada Syarikat Awam Tersenarai (PLC), iaitu 95% daripada jumlah permodalan pasaran di Malaysia.
Firma-firma ini juga mengaudit sebanyak 1,319 Dana Jadual yang merangkumi 99% daripada jumlah nilai aset bersih (NAB) Dana Jadual di seluruh negara.
Selain itu, laporan itu memaparkan pandangan tentang Penunjuk Kualiti Audit (AQI) firma audit berdaftarnya, yang termasuk statistik terkumpul yang digunakan oleh AOB untuk menilai prestasi firma audit.
Penunjuk ini membuktikan bahawa Firma Audit Utama dan Lain-lain sedang giat menangani cabaran seperti kecukupan sumber dan pusing ganti kakitangan yang tinggi, dengan usaha untuk meningkatkan kestabilan tenaga kerja dan kapasiti operasi.
AOB menggalakkan firma untuk memastikan kualiti audit secara konsisten merentas semua tugasan, bagi menangani kekurangan dan penemuan yang disertakan dalam Laporan Pemeriksaan Tahunan.
Peningkatan dalam sistem pengurusan kualiti firma, khususnya pemantauan dan pelaksanaan kawalan kualiti dalaman, adalah kritikal dalam menyokong kualiti audit.
Di samping itu, Laporan Pemeriksaan Tahunan menekankan usaha AOB dalam mengukuhkan pemantauan dan penyeliaan juruaudit seperti laporan Pemantauan Peletakan Jawatan Juruaudit dan Keberkesanan Pembaikan Firma.
AOB kekal komited dalam usaha berterusannya untuk mengukuhkan kapasiti dan keupayaan audit, kualiti audit dan tadbir urus firma berdaftarnya. - DagangNews.com







