KUALA LUMPUR 26 Mac — Sektor penjagaan kesihatan negara kini berdepan krisis tenaga kerja yang semakin meruncing apabila dianggarkan berlaku kekurangan 13,000 doktor pakar menjelang 2030.
Menurut analisis MBSB Research, situasi negatif itu menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan sistem kesihatan awam di seluruh Malaysia, terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan tempatan.
Isu itu bertambah kritikal apabila kira-kira 40% tawaran jawatan tetap pakar tidak diisi, manakala kadar latihan semasa hanya melahirkan antara 1,000 hingga 1,400 pakar setahun dinilai belum cukup.
"Ia tidak mencapai sasaran 22,400 pakar dalam tempoh itu, dan lebih membimbangkan, krisis ini bukan sekadar kekurangan tetapi mencerminkan kelemahan struktur sistem kesihatan negara," katanya.
Laporan itu turut mendedahkan penurunan mendadak penyertaan 'housemanship' atau pegawai perubatan pelatih, dengan hanya 529 graduan tampil melaporkan diri daripada 5,000 kekosongan pada awal 2026.
Fenomena ini dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk tekanan kerja, ketidaktentuan kerjaya, isu buli di tempat kerja serta tawaran lebih menarik daripada hospital swasta dan luar negara.
Pada masa sama, bidang perubatan kini berdepan persaingan sengit daripada sektor lain seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan semikonduktor dan sains komputer yang menawarkan gaji tinggi.
"Isu 'brain drain' atau penghijrahan bakat turut menjadi pemangkin apabila negara jiran seperti Singapura mula merekrut pelajar perubatan Malaysia sebelum tamat pengajian," kata MBSB Research.
Perbezaan ketara antara sistem kontrak di Malaysia dan jawatan tetap di luar negara mendorong ramai doktor muda memilih untuk berhijrah, sekali gus menjejaskan bekalan tenaga kerja tempatan.

Dalam pada itu jelasnya, peningkatan mendadak premium insurans perubatan profesional turut menjadi halangan kepada doktor untuk menceburi bidang berisiko tinggi seperti pembedahan dan obstetrik.
Tambahnya, yuran indemniti bagi pakar bedah saraf melebihi RM150,000 setahun, manakala pakar sakit puan pula mencecah RM120,000, menyebabkan ramai doktor mula beralih kepada bidang berisiko rendah.
"Situasi ini juga mendorong amalan ‘defensive medicine’, apabila doktor cenderung melakukan ujian secara berlebihan bagi mengelakkan risiko perundangan," jelas firma penyelidikan tersebut lagi.
Bagi menangani isu kekurangan pakar perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Model Hospital Kluster yang menggabungkan beberapa hospital di bawah satu sistem operasi seragam.
Bagaimanapun, MBSB Research berpandangan model ini hanya bersifat sementara kerana ia menambah beban kerja pakar sedia ada serta bergantung kepada jumlah pegawai perubatan semakin berkurangan.
Di samping itu, pada masa sama jelas firma tersebut, faktor makroekonomi seperti kenaikan harga minyak mentah melebihi AS$100 setong turut memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara.
"Peningkatan subsidi bahan api mengehadkan keupayaan kerajaan untuk menambah peruntukan kepada sektor kesihatan awam, termasuk kenaikan kadar gaji pakar dan insentif tenaga kerja," katanya.

Bagi sektor swasta, kekurangan sumber manusia menjadi cabaran utama apabila kadar kekosongan jururawat dianggarkan antara 15% hingga 18%, sekali gus mengehadkan kapasiti operasi hospital.
Namun, dalam masa sama jelas MBSB Research, situasi ini membuka peluang kepada pemain besar industri untuk mengukuhkan kedudukan melalui pelaburan dalam latihan tenaga kerja dan teknologi.
Sehubungan itu, firma tersebut menamakan KPJ Healthcare Berhad sebagai pilihan utama sektor ini berikutan keupayaan pembangunan tenaga kerja sendiri melalui institusi pendidikan kejururawatan.
"Pendekatan ini memberi kelebihan dari segi kos dan kelangsungan operasi dalam jangka panjang, manakala Sunway Healthcare turut disebut-sebut sebagai pemain yang berpotensi," tambahnya lagi.
Perkembangan kumpulan penjagaan kesihatan tersebut kata MBSB Research, susulan kedudukan tunai kukuh yang membolehkan syarikat itu menarik pakar terbaik serta melabur dalam teknologi automasi.
Secara keseluruhan, laporan firma itu menegaskan sistem kesihatan Malaysia kini berada pada titik kritikal dan memerlukan reformasi secara menyeluruh termasuk penambahbaikan laluan kerjaya doktor.
Tanpa tindakan segera, sasaran tenaga pakar menjelang 2030 berisiko besar untuk tidak dicapai, sekali gus menjejaskan kualiti dan akses perkhidmatan kesihatan negara. - DagangNews.com








