KUALA LUMPUR 22 Mei — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan projek 7,243 unit MyKiosk yang melibatkan 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah bebas sebarang elemen rasuah dan memanfaatkan ribuan peniaga kecil.
Ia berkata, kos siling skim MyKiosk 2.0 yang dihadkan kepada RM25,000 seunit juga disifatkan sebagai munasabah, serta membolehkan kontraktor untuk bersaing secara adil di bawah sistem sebut harga lebih telus dan terbuka di peringkat PBT.
Katanya, kesemua pelantikan 795 kontraktor bagi inisiatif MyKiosk diuruskan sendiri oleh PBT dengan peruntukan berkaitan diambil kira di bawah Inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur ditetapkan.
"Pihak KPKT berharap agar langkah ini dapat memberikan gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan tahap integriti dalam segala aspek pentadbiran serta perkhidmatan awam," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan pasukan KPKT tampil secara sukarela dengan menyerahkan dokumen berkaitan inisiatif MyKiosk kepada ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka turut memberi kerjasama sepenuhnya meskipun belum menerima sebarang permintaan khusus daripada agensi itu berhubung laporan Pemuda MCA Selangor kepada SPRM yang menggesa siasatan isu kos kiosk perniagaan tersebut yang didakwa mahal.

Mengulas lanjut, KPKT berkata, langkah penyerahan dokumen itu dibuat berikutan ada aduan oleh pihak tertentu kononnya berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan projek MyKiosk walaupun sudah dijelaskan menterinya, Nga Kor Ming pada 8 Mei 2025.
"KPKT sentiasa komited memastikan semua inisiatif dan program kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti. Kami berharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa setiap urusan adalah telus dan mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Selain itu, KPKT menegaskan yang MyKiosk diperkenalkan sebagai usaha menyokong peniaga kecil, dan kementerian tersebut tetap komited sepenuhnya untuk memastikan kesemua inisiatif kerajaan dapat dilakukan dengan penuh integriti.
Ia mengingatkan masyarakat bahawa di bawah Seksyen 27(1) Akta SPRM, adalah satu kesalahan jenayah jika memberikan maklumat palsu atau mengelirukan secara sedar kepada pegawai SPRM
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000, penjara tidak melebihi tempoh 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. - DagangNews.com








