KPJ Healthcare lantik 16 ketua bidang kepakaran di seluruh rangkaian hospitalnya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare lantik 16 ketua bidang kepakaran di seluruh rangkaian hospitalnya

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 April - KPJ Healthcare Berhad melantik seramai 16 perunding kanan sebagai Ketua Bidang Kepakaran dan Subkepakaran di seluruh rangkaian hospitalnya di Malaysia, sekali gus menzahirkan komitmen tinggi terhadap aspek kecemerlangan perkhidmatan klinikal.

 

Kumpulan itu berkata, langkah strategik itu juga memberi tumpuan yang lebih mendalam kepada penjagaan berteraskan pesakit dan mencerminkan tekadnya untuk meningkatkan piawaian, memperkukuh tadbir urus dan menyatukan penyampaian penjagaan di kesemua 30 hospitalnya.

 

 

 

Dengan menyelaras kepimpinan merentas bidang kepakaran serta menerapkan amalan terbaik, penyelidikan serta latihan secara seragam, inisiatif ini katanya, dijangka mampu meningkatkan lagi tahap konsistensi dan kualiti penjagaan di seluruh rangkaian KPJ sendiri.

 

"Selaras pembangunan KPJ Health System ke arah lebih bersepadu yang menyeluruh, pelantikan ini memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan serta menambahbaik pengalaman pesakit," katanya dalam kenyataan.

 

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua 16 perunding kanan berkenaan dan mengalu-alukan pelantikan mereka ke dalam peranan baharu tersebut.

 

Mereka katanya, merupakan tokoh yang diiktiraf dalam bidang masing-masing dan beliau sendiri menzahirkan keyakinan kepakaran pakar berkenaan untuk membantu serta memperkukuh penyelarasan perkhidmatan klinikal di seluruh rangkaian KPJ. 

 

kpj

 

"Usaha ini selari dengan komitmen jangka panjang kami untuk mengukuhkan tadbir urus, menyeragamkan amalan klinikal serta meningkatkan kualiti rawatan, latihan dan hasil rawatan yang diterima oleh pesakit," kata beliau dalam kenyataan itu.

 

Ia juga merupakan komponen penting kumpulan itu mengintegrasikan penjagaan, penyelidikan dan pendidikan, selaras dengan misi untuk terus merawat, mendidik dan menerokai pengetahuan baharu demi manfaat pesakit serta industri penjagaan kesihatan secara keseluruhan.

 

Selain itu, mereka akan memainkan peranan sebagai peneraju klinikal dalam bidang masing-masing, mempromosikan piawaian klinikal yang konsisten dan amalan terbaik di hospital KPJ, sambil melakukan tugas strategik memajukan tonggak utama KPJ Health System.

 

"Tanggungjawab mereka termasuklah memberikan panduan dalam membuat keputusan bagi pelbagai disiplin dan menjadi rujukan utama pasukan klinikal; mempromosikan amalan terbaik dan pendekatan rawatan selaras untuk meningkatkan konsistensi penjagaan," kata kenyataan itu.

 

Ketua-ketua berkenaan juga akan menyokong pembangunan bakat serta pendidikan perubatan; dan menyumbang kepada penyelidikan berasaskan bukti melalui Pusat Penyelidikan dan Inovasi KPJ selain menerajui pembangunan protokol klinikal dan membimbing perbincangan kes kompleks.

 

Kenyataan KPJ Healthcare itu berkata, sebagai sebahagian peranan itu, mereka juga memupuk budaya pembelajaran bersama di seluruh rangkaian dan dipertanggungjawabkan untuk menyokong pembangunan profesional secara berterusan serta memperkukuh kecemerlangan klinikal. - DagangNews.com