KUALA LUMPUR 24 Mac — Kos pengambilalihan tanah lebih tinggi daripada kebiasaan menjadi isu utama dalam langkah Paramount Corporation Berhad memperkukuh kehadiran di kawasan premium U-Thant.
Bagaimanapun menurut TA Securities, lokasi strategik di kawasan elit pinggir pusat bandar raya Kuala Lumpur itu dilihat mampu menyokong penilaian kos mahal tersebut dalam tempoh jangka panjang.
Kumpulan itu melalui anak syarikatnya, Meridian Kuasa Sdn Bhd membeli tanah komersial pegangan bebas berkeluasan 1.49 hektar di Jalan Ampang daripada IOI Properties Berhad pada harga RM257.9 juta.
Harga tersebut jelas firma itu dalam notanya, bersamaan RM1,600 sekaki persegi, dengan nisbah kos tanah kepada nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar 23%, serta melebihi sedikit purata industri iaitu 20%.
“Walaupun harga ini agak tinggi, kami berpandangan ia masih munasabah kerana lokasi tapak dalam zon U-Thant berhampiran KLCC yang terkenal dengan transaksi tanah premium,” kata TA Securities.
Paramount merancang pembangunan projek kediaman servis mewah dua blok dengan anggaran GDV RM1.1 bilion, yang dijangka dilancarkan menjelang akhir 2026 dengan tempoh pembangunan enam tahun.
Berdasarkan kepada situasi semasa tambah firma itu, kelebihan utama projek ini adalah kelulusan pembangunan sedia ada yang mampu mempercepatkan pelaksanaan serta mengurangkan risiko kelewatan.
Artikel berkaitan: Paramount rancang beli tanah 3.7 ekar di Jalan Ampang pada harga RM257.89 juta

Selain itu kata TA Securities, lokasi tapak berhampiran hab pengangkutan MRT/LRT Ampang Park serta kawasan kediaman ekspatriat menjadikannya antara koridor kediaman bandar utama Kuala Lumpur.
"Pengambilalihan ini juga meningkatkan jumlah GDV terkumpul Paramount sejak 2025 kepada RM3.7 bilion selari strategi kumpulan menumpukan pembangunan di kawasan sudah dikenal pasti," tambahnya.
Katanya, rekod prestasi projek terdahulu seperti The Atrium dan The Ashwood yang habis dijual juga memberi kelebihan kepada Paramount untuk memanfaatkan pengiktirafan jenama di kawasan tersebut.
Dari sudut kewangan, pengambilalihan ini akan meningkatkan gear kasar kepada 0.96 kali daripada 0.82 kali sebelum ini, manakala gear bersih diunjur naik kepada 0.76 kali berbanding 0.59 kali.
Walaupun melebihi julat sasaran pengurusan buat sementara waktu, TA Securities berpandangan tahap hutang tersebut masih boleh diurus Paramount berdasarkan kekuatan saluran pembangunan kumpulan.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu RM1.25 sesaham, dan tanpa perubahan kepada unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28," katanya.
Secara keseluruhan, ia menilai pengambilalihan ini sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Paramount dalam segmen kediaman premium, disokong permintaan berterusan di kawasan U-Thant. - DagangNews.com








