Kos stabil buah tandan segar tidak bantu Hap Seng catat hasil 2QFY25 lebih tinggi - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos stabil buah tandan segar tidak bantu Hap Seng catat hasil 2QFY25 lebih tinggi - UOBKH

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Ogos — Hap Seng Plantation Holdings Berhad diramal mencatatkan hasil pada 2QFY25 yang lebih rendah berbanding suku sebelumnya, menurut UOB Kay Hian (UOBKH) Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, pendapatan teras akan datang kumpulan perladangan itu dalam suku ke suku (QoQ) dikhuatiri kemungkinan direkodkan susut kepada antara RM25 juta dan RM30 juta.

 

Situasi berkenaan tambahnya, dijangka masih lagi boleh berlaku walaupun pengeluaran buah tandan segar (BTS) dari ladang syarikat berkenaan didapati melonjak semula sebanyak sembilan peratus QoQ.

 

"Bagaimanapun hasil syarikat diimbangi oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih lemah iaitu RM4,866 setiap tan dengan purata merosot 14 peratus QoQ," kata UOBKH Research dalam nota kajiannya.

 

Tambah firma tersebut, Hap Seng mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM35.4 juta bagi tempoh 2QFY25 tetapi mencatatkan penurunan 3% tahun ke tahun (YoY) dalam pertumbuhan pengeluaran.

 

Katanya, bersama-sama dengan pengeluaran pada suku pertama tahun kewangan 2025, jumlah pengeluaran pada separuh pertama 2025 (1HFY25) hanya membentuk 39 peratus daripada jangkaan setahun penuh.

 

Walaupun pengeluaran pada 2HFY25 diramal lebih tinggi, UOBKH Research menambah, ia masih tidak akan dapat mengimbangi pengeluaran yang lebih lemah daripada yang dijangka pada enam bulan pertama 2025.

 

"Justeru, kami menyemak semula andaian pertumbuhan pengeluaran 2025 untuk Hap Seng turun kepada 6% berbanding 9% YoY dipacu oleh pengeluaran yang lebih lemah pada tempoh 1H25," kata firma berkenaan.

 

Penyusutan ramalan itu tambahnya, adalah disebabkan oleh faktor hujan lebat pada suku pertama 2025 dan menjangkakan pengeluaran 2QFY25 akan ketinggalan walaupun trend hujan semakin bertambah baik.

 

Secara umum, ladang kumpulan tersebut terus mengalami hujan, dan menunjukkan peningkatan secara berterusan menurut unjuran Sistem Ramalan Global Pusat Ramalan Alam Sekitar Kebangsaan sendiri.

 

Corak itu kata UOBKH Research, mencadangkan sokongan berterusan untuk produktiviti minyak sawit pada suku ketiga 2025 dan berpendapat kos pengeluaran perlu kekal stabil kepada RM2,200 setiap tan.

 

"Ini juga perlu disokong oleh kos baja dan buruh yang stabil selain kami ambil perhatian syarikat itu telah pun membuat tender permohonan bajanya untuk 2H25 pada 10% yang lebih tinggi," tambahnya.

 

Secara berasingan, Hap Seng menjangkakan kesan minimum daripada kenaikan gaji, tetapi untuk 2Q25, kos akan lebih tinggi untuk mencerminkan sepenuhnya pelarasan gaji minimum dan kos semasa baja.

 

UOBKH Research namun berkata, ia telah meramalkan keuntungan bersih 2025 pada RM184 juta, dipacu oleh pengeluaran BTS sebanyak 6% YoY serta unjuran purata MSM sebanyak RM4,200 bagi setiap tan.

 

Berdasarkan situasi itu, ia terus menggemari syarikat tersebut dan mengekalkan gesaan 'beli' ke atas Hap Seng tetapi harga sasaran lebih rendah iaitu RM2.20 daripada RM2.25 sesaham. - DagangNews.com