KUALA LUMPUR 21 Nov - Farm Price Holdings Berhad terus mencatat peningkatan jualan, terutamanya dalam pasaran ke Singapura, namun prestasinya itu dinilai berbeza pandangan antara penganalisis.
Mereka menyifatkan walaupun eksport dan margin keuntungan syarikat berkenaan didapati meningkat pada suku ketiga, kos pentadbiran anak syarikat yang memberi kesan ketara terhadap keuntungan bersih.
RHB Research mengekalkan saranan 'beli' namun menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada 52 sen daripada hanya 47 sen selepas keputusan 9M25 yang disifatkannya sebagai melepasi jangkaan awal.
"Kami optimis terhadap pengembangan pusat pengedaran di Senai, Johor yang bakal meningkatkan 34% kapasiti menjelang 1Q26, dan sumbangan lebih besar dari Singapura," katanya dalam nota hari ini.
Firma penyelidikan tersebut turut menilai usaha pengambilalihan ke atas Hong Yun dan D&D Sinna mampu mengukuh rangkaian pembekalan serta akses ke pasaran pelanggan peringkat kedua di Singapura.
Selain itu katanya, Farm Price menyasar kira-kira 50% hasil daripada Singapura menjelang 2026, yang dijangka meningkatkan margin secara struktural selepas eksport meningkat kepada 37% pada 3Q25.
Justeru, RHB Research menaikkan unjuran pendapatan dari FY25 hingga FY27 sebanyak 7% hingga 9% dengan mengambil kira untung teras 9M25 yang naik 28% tahun ke tahun (YoY) kepada RM9.2 juta.
"Bagaimanapun kami mengenal pasti risiko utama antaranya isu kelewatan pelaksanaan gudang baharu serta ketidaktentuan kos pentadbiran tinggi melibatkan bahan mentah dan logistik," jelas firma itu.
Begitu juga Public Investment Bank yang menekankan masalah tekanan kos, apabila untung bersih teras 3QFY25 merosot 47% YoY kepada RM1.5 juta, disebabkan perbelanjaan pentadbiran sekitar RM2 juta.
Ia tambahnya, berkaitan penubuhan sebuah anak syarikat baharu dengan firma berkenaan mengurangkan unjuran pendapatan Farm Price pada FY25 sebanyak 25% untuk mengambil kira kos luar jangka tersebut.
Firma berkenaan namun kekal optimis terhadap projek pengembangan melibatkan fasiliti di Senai, dengan separuh kapasiti baharu disasarkan untuk dapat memenuhi permintaan tinggi dari Singapura.
"Kami juga difahamkan syarikat ada merancang untuk berusaha memperluas perkhidmatan nilai tambah seperti sayur potong dan pembungkusan, seiring dengan trend gaya hidup moden," kata PublicInvest.
Sokongan lain turut datang daripada polisi kerajaan seperti Dasar Agromakanan Negara 2.0, yang menggalakkan isu keselamatan makanan dan pemakanan lebih sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, firma tersebut masih mengekalkan saranan 'outperform' dengan TP 50 sen sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 15 kali pada unjuran FY26. - DagangNews.com








