KUALA LUMPUR 17 April — Lonjakan mendadak harga diesel sehingga hampir 180% sejak akhir Februari 2026 mula memberi tekanan kepada kos pembinaan dan bahan binaan, menurut analisis TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan harga diesel daripada sekitar RM2.15 seliter kepada RM5.90 hingga RM6.70 seliter menyaksikan peningkatan secara rantaian kepada sektor hartanah.
Antara paling ketara jelasnya, kos bahan binaan seperti simen dan konkrit siap bancuh, masing-masing didapati sudah naik kira-kira 9.1% dan 7.9% tahun ke tahun (YoY) pada data Mac 2026.
“Walaupun tekanan semakin jelas, impak masih boleh diurus memandangkan pendedahan langsung kepada diesel adalah terhad, dan pembangunan dibuatkan secara berfasa,” kata TA Securities dalam nota.
Secara teori ujarnya, kenaikan 10% kos diesel dan bahan binaan hanya meningkatkan kos pembinaan sekitar 1% hingga 2%, manakala impak sebenar pula dianggarkan lebih rendah iaitu 1% hingga 4%.
Angka itu tambah, selepas diambil kira struktur kontrak dan pelarasan masa kerja-kerja pembinaan, manakala kebanyakan projek hartanah yang sedia ada masih dilindungi oleh kontrak harga tetap.
Sementara bagi projek yang baharu pula jelas TA Securities lagi, pemaju hartanah didapati lebih cenderung melaraskan masa tender agar lebih panjang berbanding mengurangkan skala pembangunan.

"Pada masa sama, pelaksanaan projek kekal berjalan lancar dengan tiada perubahan ketara terhadap pelancaran projek atau sasaran jualan, disokong oleh aliran kontrak yang berterusan," katanya.
Ini ujar firma penyelidikan berkenaan, termasuk dalam segmen pembinaan kediaman, komersial dan perindustrian, manakala dari sudut margin, ia menjangkakan sedikit tekanan yang masih terkawal.
Para pemaju tambah TA Securities, mempunyai keupayaan menyesuaikan kos melalui strategi seperti fasa pembangunan, pelarasan campuran produk dan kenaikan harga berperingkat bagi projek baharu.
Permintaan hartanah di pasaran seluruh negara pula katanya, dilihat masih lagi stabil buat masa ini, khususnya dalam segmen perumahan mampu milik yang disokong oleh pembeli kediaman sendiri.
"Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan tingkah laku pembeli menjadi lebih berhati-hati susulan peningkatan kos sara hidup, dengan permintaan rumah mungkin sedikit perlahan," jelasnya.
Kemerosotan dikhuatiri masih berlaku terutama bagi produk kediaman berharga tinggi, namun segmen perindustrian dan pembangunan berkaitan projek pusat data (DC) terus mencatat permintaan kukuh.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor hartanah, disokong keterlihatan pendapatan yang baik serta penilaian semasa yang masih berada pada paras purata jangka panjang.
Firma itu turut menamakan Sime Darby Property Berhad sebagai pilihan utama, disokong kedudukan kukuh pembangunan perindustrian, prestasi kewangan mantap serta peningkatan pendapatan berulang.
"Projek DC berskala besar disokong pajakan jangka panjang dijangka memperkukuh asas pendapatan syarikat dan meningkatkan daya tahan dalam persekitaran pasaran yang lebih mencabar," katanya.
TA Securities namun mengingatkan risiko tekanan kos berpanjangan, permintaan kediaman yang lemah, kelewatan pelaksanaan projek serta kenaikan kadar faedah boleh menjejaskan kemampuan pembeli. - DagangNews.com








