KUALA LUMPUR 1 Okt - Kos kredit yang lebih baik pada separuh kedua FY26 (2HFY26) dijangka menjadi pemangkin utama kepada peningkatan pulangan ke atas ekuiti (ROE) Aeon Credit Service (M) Bhd (ACSM) ke paras 12%, berbanding 10.5% dalam 1HFY26, menurut RHB Research.
Bank pelaburan itu berkata, dengan tahap ROE tersebut, penilaian saham pada kurang 1x nilai buku (P/BV) kelihatan menarik, terutama melihat kepada potensi pengurangan kerugian syarikat bersekutu mulai FY27F.
Sehubungan itu bank pelaburan itu mengkekalkan saham ACSM sebagai pilihan ‘BELI’, walaupun harga sasaran (TP) disemak turun kepada RM6.70 (daripada RM7.60 sebelum ini), memberi potensi kenaikan 21% daripada paras semasa.
"Saham ini juga dijangka memberikan hasil dividen sebanyak 5% bagi tahun kewangan berakhir Februari 2026 (FY26F)," katanya dalam nota penyelidikan.
Pulangan Semula Dijangka Kukuh dalam 2HFY26
RHB berkata, kadar kutipan ACSM mencatat peningkatan kukuh pada Julai dan Ogos 2025, hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif bersasar untuk meningkatkan kecekapan kutipan.
Susulan itu, pihak pengurusan menjangkakan penurunan kos kredit, berpunca daripada pulangan semula dan/atau pembalikan akaun rosot nilai antara April-Jun 2025; dan penurunan kadar kemerosotan dalam akaun berprestasi.
Pasca keputusan 2QFY26, andaian kos kredit FY26 dinaikkan kepada 4.3% (dari 3.8% sebelum ini), dengan jangkaan caj 2HFY26 sekitar 3.5% berbanding 5.0% dalam 1HFY26.
Katanya, pada awal Ogos 2025, Aeon Bank melancarkan produk perbankan perniagaan pertamanya, merangkumi akaun semasa dan penyelesaian pengurusan tunai.
Sehingga kini, lebih 180 pelanggan telah didaftarkan ke platform tersebut – majoritinya adalah peniaga sedia ada ACSM dengan sasaran 1,000 pelanggan menjelang Feb 2026.
Produk baharu dalam perancangan termasuk pembiayaan modal kerja dan pembiayaan berjangka untuk perniagaan (pelancaran Nov 2025), deposit berjangka perniagaan (Nov 2025), dannpembiayaan rantaian bekalan (Mac 2026).
"Pihak pengurusan menjangkakan kerugian operasi bank memuncak dalam FY26, dengan unjuran RM80-90 juta sebagai bahagian kerugian yang ditanggung ACSM (1HFY26: RM34 juta).
"Fokus akan beralih kepada pengumpulan aset bermula FY27F, yang dijangka menyumbang kepada peningkatan pendapatan pembiayaan," kata RHB.
Pada 29 September lalu, ACSM memperoleh pinjaman sosial RM500 juta daripada MUFG Bank (Malaysia).
Dana ini akan digunakan untuk menyediakan pembiayaan kepada golongan berpendapatan rendah (gaji bulanan RM2,500 ke bawah) serta perniagaan kecil di kawasan pertumbuhan baharu.
Kemudahan ini melengkapi pinjaman berkaitan kelestarian RM600 juta yang diperoleh pada April 2023, kini dalam tahun akhir komitmen.
Petunjuk kemajuan menunjukkan prestasi kukuh, termasuk RM211 juta pembiayaan sosial telah diagihkan (komitmen: RM50 juta), dan pengurangan 30% dalam pelepasan gas rumah hijau operasi pada FY25 berbanding FY22 (sasaran: 40%).
Anggaran pendapatan FY26F–FY28F disemak turun sebanyak 13%, 11%, dan 12% masing-masing, selaras dengan semakan semula kos kredit yang lebih tinggi.
Harga sasaran dikurangkan kepada RM6.70, yang merangkumi premium ESG sebanyak 2%.
Risiko utama kekal pada ketidakpastian trajektori kos kredit, walaupun asas syarikat kekal kukuh. - DagangNews.com








