KUALA LUMPUR 26 Nov - Leong Hup International Bhd (LHIB) mampu mengekalkan prospek pertubuhan positif disokong kelebihan kos termasuk harga makanan ternakan stabil, selain kosolidasi pasaran di seluruh ASEAN, menurut penganalisis.
RHB Research berkata, keputusan kewangan LHIB bagi 9M25 mengatasi jangkaan berikutan margin keuntungan yang lebih kukuh daripada dijangka.
Katanya, walaupun pertumbuhan pendapatan negatif diramalkan, firma itu percaya penambahbaikan asas dalam industri ayam didorong oleh kelebihan kos dan konsolidasi pasaran yang belum diambil kira dalam harga semasa, memberi kelebihan kepada kumpulan.
Tambah RHB, pada paras -1.5 SD daripada purata 5 tahun, penilaian kekal menarik bagi pemain berpengalaman dengan rangkaian serantau untuk menangkap permintaan ayam yang berdaya tahan.
"Dalam jangka sederhana, kami percaya asas keseluruhan industri ayam telah bertambah baik apabila pandemik dan kitaran komoditi tinggi meminggirkan pemain kecil dan lemah. Ini membawa kepada konsolidasi industri yang menguntungkan pemain besar seperti LHIB.
"Digandingkan dengan lembaran imbangan yang lebih kukuh (gear bersih susut kepada 0.39x dalam 3Q25 daripada 1.1x dalam FY22), kami percaya kumpulan berada pada kedudukan baik untuk meraih lebih banyak bahagian pasaran dan meningkatkan kecekapan melalui pengembangan kapasiti.," katanya dalam nota penyelidian hari ini.
RHB mengekalkan saranan BELI dengan TP MYR0.98, potensi kenaikan 58% dan hasil sekitar 5% bagi FY26F.
Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan trajektori pendapatan kumpulan yang stabil pada 4Q25, disokong oleh sumbangan pendapatan Malaysia yang berdaya tahan.
Selain itu, kenaikan harga purata jualan (ASP) ayam di Indonesia dan pertumbuhan berterusan permintaan ayam di Vietnam turut memberikan kelebihan kepada LHIB.
"Pergerakan ASP bahan mentah makanan ternakan yang menggalakkan juga akan membantu mengekalkan margin operasi yang stabil.
"Anggaran pendapatan FY25-FY27E kami dinaikkan sebanyak 17-19%. Kekalkan saranan BELI dengan TP tidak berubah pada MYR0.82, berdasarkan PER min yang dikemas kini sebanyak 7x (berbanding PER FY26E 8x sebelum ini)," kata firma itu.
MBSB Research pula berkata, prospek LHIB positif disokong oleh kos input makanan ternakan yang stabil bagi jagung dan kacang soya serta potensi pertumbuhan penggunaan ayam dan telur yang masih belum diterokai sepenuhnya di pasaran ASEAN utamanya.
Katanya, dipacu permintaan domestik yang kukuh dan aliran perdagangan yang bertambah baik, LHIB dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan penggunaan protein meskipun ketidaktentuan geopolitik dan tarif dalam jangka pendek.
"Disokong oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah, jejak operasi yang pelbagai dan portfolio makanan asasnya, LHIB kekal sebagai kaunter defensif, manakala pengurusan kos dan sumber yang berhemat dijangka mengekalkan pertumbuhan yang stabil," katanya. - DagangNews.com








