Kos bahan mentah tinggi, AmInvest ramal jualan Oriental Kopi susut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos bahan mentah tinggi, AmInvest ramal jualan Oriental Kopi susut

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Mei — Potensi jualan Oriental Kopi Holdings Berhad diunjur dalam situasi penyusutan disebabkan oleh faktor peningkatan kos bahan mentah ditanggung kumpulan tersebut, kata AmInvestment Bank Research (AmInvest).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan itu kemungkinan mempengaruhi margin perolehan kasar syarikat dengan pihak pengurusannya dilaporkan sedang berusaha lebih keras untuk meningkatkannya kepada 27 peratus.

 

Katanya, prospek pertumbuhan Oriental Kopi bagaimanapun diramalkan positif berikutan saham syarikat berkenaan di Bursa Malaysia diklasifikasikan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai patuh syariah berkuat kuasa 30 Mei 2025.

 

 

 

 

 

"Berdasarkan rekod positif perniagaannya pada ketika ini, kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan meramalkan harga sasaran sesaham yang turut tidak berubah kepada sebanyak 70 sen," kata AmInvest dalam satu nota kajiannya.


Ia merujuk langkah Oriental Kopi yang telah membuka enam kedai kafe baharu dan dua kedai runcit khusus setakat ini untuk tahun kewangan 2025, menjadikan jumlah keseluruhan kepada sebanyak 23 kafe dan tiga kedai runcit khusus.


Kumpulan tersebut juga merancang untuk menambah lagi cawangannya yang meliputi sebanyak 12 kafe dan tiga kedai runcit khusus dalam tempoh masa dua tahun bagi memenuhi potensi permintaan akan datang yang semakin tinggi.


Oriental Kopi merekodkan keuntungan bersih teras pada 1HFY25 sebanyak RM28.2 juta yang dalam jangkaan AmInvest pada 45% dan 46% daripada anggaran tahun penuh dan konsensus setelah diselaraskan untuk pelbagai perbelanjaan.


Hasil pada tempoh 2QFY25 meningkat 5.5 peratus manakala keuntungan bersih melonjak 8.6 peratus, didorong oleh pembukaan cawangan baharu, pertumbuhan dalam makanan berbungkus dan hasil faedah tinggi walaupun margin kasar lemah. 


"Langkah Oriental Kopi menjalinkan usaha sama dengan firma Paradise yang berpangkalan di Singapura juga berjaya membantu dalam menjana keuntungan pada suku tersebut," kata firma berkenaan. - DagangNews.com