KUALA LUMPUR 9 Mei — Kejayaan Kerjaya Prospek Group Berhad memenangi kontrak terbaharu di Johor Bahru berpotensi menyumbang hasil bersih kepada kumpulan itu sebanyak RM16.2 juta sepanjang tempoh pembinaan, kata TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, potensi hasil dijana itu berdasarkan kepada rekod margin bersih syarikat yang kebiasaannya sekitar 10 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak dimenanginya sebelum ini.
Katanya, pencapaian terbaharu oleh kumpulan itu merupakan kontrak keenam diperoleh pada FY25 dan meningkatkan kemenangan bagi pekerjaan baharu secara kumulatif tahun sehingga kini (YTD) kepada sebanyak RM870.3 juta.
"Kami melihat perkembangan ini sebagai sesuatau yang strategik untuk Kerjaya Prospek di Johor dan pintu masuk yang berpotensi kepada kontrak tambahan daripada Majestic Gen Sdn Bhd," katanya dalam satu nota kajian.
Semalam, kumpulan itu menerima kontrak syarikat tersebut bagi pembinaan bangunan utama Gen Rise bernilai RM162 juta, meliputi sebuah servis apartmen 47 tingkat berdekatan kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar.
Ia melibatkan satu blok dengan 732 unit kediaman, sembilan tingkat tempat letak kereta podium dan kemudahan lain yang kerja pembinaannya dijadual bermula pada 1 Ogos 2025 serta dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.
Mengulas lanjut, TA Securities berkata, kejayaan itu turut menyaksikan buku tempahan terkumpul Kerjaya Prospek meningkat kepada sebanyak RM4.6 bilion iaitu kira-kira 2.5 kali ganda daripada hasil pembinaan sepanjang FY24.
"Situasi ini menyediakan keterlihatan pendapatan kukuh jangka sederhana dan berada kedudukan baik bagi memanfaatkan sektor hartanah semakin meningkat di wilayah selatan, sebagai sebahagian agenda pertumbuhan strategik," katanya.
Majestic Gen kata firma itu, bekerjasama dengan Sunway Property Sdn Bhd baru-baru ini bagi pembangunan bercampur bernilai RM4 bilion seluas 6.3 hektar di Johor Bahru yang menampilkan gabungan pangsapuri servis dan komponen runcit.
Dengan Johor sendiri muncul sebagai negeri pertumbuhan ekonomi utama dan mengalami transformasi bandar yang ketara, Kerjaya Prospek kata TA Securities berpeluang meraih manfaat daripada kesan limpahan momentum positif ini.
Bagaimanapun firma penyelidikan itu masih mengekalkan saranan "beli" ke atas kumpulan tersebut dengan harga sasaran sesaham yang tidak berubah sebanyak RM2.72 berdasarkan unjuran dividen 12 sen setiap sahamnya pada FY25. - DagangNews.com








