KUALA LUMPUR 6 Mac — Kontrak pembinaan kediaman bernilai RM444 juta di Arab Saudi dilihat menjadi titik perubahan strategik buat MGB Berhad dalam usaha memperluas operasi di pasaran Asia Barat.
Menurut Mercury Securities, tender itu turut mengubah imej kumpulan daripada pemain Sistem Binaan Berindustri (IBS) domestik kepada kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) serantau.
Tambah firma tersebut, projek pembangunan Al Madina Al Monawara yang bermula pada 1 Mac 2026 menandakan kemasukan pertamanya dalam pembangunan bandar di Arab Saudi melalui usaha sama 50:50.
"MGB pernah ada projek pratuang Al Arous bernilai RM88.5 juta dan kerja pembuatan berjumlah RM52 juta, sekali gus mengukuh potensi pengembangan buku tempahan kumpulan di Timur Tengah," katanya.
Perkembangan kali ini mengubah profil antarabangsanya daripada sekadar pemaju perumahan mampu milik di pasaran domestik kepada kontraktor serantau dengan pelan hala tuju hasil masa depan.
Mercury Securities menambah, di Malaysia, segmen pembinaan syarikat itu kukuh dengan buku tempahan terkumpul RM1.2 bilion setakat 31 Januari 2026, dan menyediakan keterlihatan hasil sehingga 2027.

Daripada jumlah itu, RM860 juta merupakan projek dalaman MGB termasuk sembilan projek daripada LBS Bina Group Berhad serta dua projek Rumah Selangorku Idaman iaitu Idaman Perdana dan Idaman Kita.
"Dalam segmen hartanah, projek siri Idaman di Selangor mencatat kadar pengambilan hampir penuh, termasuk Idaman Melur dan Idaman BSP habis dijual serta diserah kepada pembeli," kata firma itu.
Selain itu jelas Mercury Securities, projek Pangsapuri Saujana Indah di Johor mencatat kadar pengambilan 90.3% setakat Januari 2026, menjana kepada jualan belum dibilkan kira-kira RM280 juta.
Berdasarkan kepada perkembangan positif tersebut katanya, MGB kini mempunyai pelan hala tuju hasil masa depan bernilai sekitar RM5 bilion yang merangkumi projek pembinaan dan pembangunan hartanah.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham MGB dengan harga sasaran (TP) berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) disemak lebih rendah kepada 82 sen berbanding RM1.01 sebelum ini.
"Walaupun TP diturunkan, saham kumpulan ini kekal menarik disokong penilaian yang rendah, buku tempahan kukuh serta potensi hasil dividen melebihi 7%," kata Mercury Securities. - DagangNews.com








