KUALA LUMPUR 1 Nov - Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) melalui anak syarikat milik penuhnya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd (SIBS) menerima Surat Tawaran dan Penerimaan Disemak Semula (RLOA2) daripada Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi projek perumahan di Kota Bharu, Kelantan.
Kontrak yang disemak semula itu mengesahkan peranan SIBS sebagai kontraktor utama bagi pembangunan 632 unit rumah di bawah program PR1MA, dengan nilai kontrak disemak semula sebanyak RM172.4 juta.
Nilai baharu tersebut adalah peningkatan bersih sebanyak RM9.95 juta berbanding kontrak asal, terutamanya disebabkan oleh kerja awal tambahan serta pelarasan kos pembinaan.
Menurut SCIB, pelarasan itu dibuat bagi mencerminkan perubahan skop projek, kerja-kerja awal dan penambahbaikan melalui value engineering. Projek tersebut dijangka dilaksanakan dalam tempoh 36 bulan merangkumi keseluruhan perkhidmatan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).
\SCIB berkata, kerjasama ini mengukuhkan lagi sumbangan syarikat terhadap agenda perumahan mampu milik negara, di samping menzahirkan komitmen terhadap pembangunan mampan berteraskan komuniti melalui teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) miliknya.
Pengerusi Eksekutif Datuk Chong Loong Men berkata, penganugerahan semula kontrak itu membuktikan keupayaan SCIB dalam melaksanakan projek perumahan berskala besar yang sejajar dengan matlamat kerajaan menyediakan rumah mampu milik.
“Kami berbesar hati dapat mengesahkan semula peranan kami dalam inisiatif perumahan nasional penting ini melalui kontrak disemak semula.
"Penglibatan berterusan kami dalam PR1MA membuktikan kemampuan SCIB melaksanakan projek perumahan berskala besar yang menyokong aspirasi kerajaan bagi penyediaan rumah mampu milik,” katanya.
Chong menambah, SCIB akan terus meneroka peluang baharu serta menilai pilihan strategik dengan berhati-hati demi kepentingan syarikat dan para pemegang taruhnya.
SCIB menegaskan pihaknya kekal fokus dalam meningkatkan nilai kepada pemegang kepentingan melalui pelaksanaan projek yang berdisiplin, pengurusan sumber yang cekap serta tadbir urus korporat yang kukuh.
Syarikat akan mengeluarkan makluman lanjut apabila terdapat perkembangan material berkaitan kontrak ini atau inisiatif strategik lain. - DagangNews.com








