KUALA LUMPUR 7 Julai - Kontrak baharu bernilai RM365.2 juta yang diterima oleh WCT Holdings Bhd bagi pembinaan laluan tambahan di jajaran Sedenak–Simpang Renggam Lebuh raya Utara-Selatan dijangka menyumbang antara 2 hingga 4 peratus kepada pendapatan tahunan syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan projek selama 36 bulan.
Menurut Public Investment Bank Bhd (PublicInvest), kontrak itu adalah kemenangan pertama WCT untuk tahun ini dan mewakili 36.5 peratus daripada sasaran pengisian semula buku pesanan sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
Firma penyelidikan itu berkata, melalui kontrak tersebut, nilai buku pesanan pembinaan WCT dijangka meningkat sebanyak 14.6 peratus kepada RM2.8 bilion.
Bagaimanapun, PublicInvest masih mengekalkan unjuran sedia ada memandangkan kontrak terbaharu ini telah pun diambil kira dalam anggaran pengisian semula buku pesanan FY25.
ARTIKEL BERKAITAN: WCT menang kontrak RM365 juta bina projek lebuh raya PLUS di Johor
Kontrak tersebut dianugerahkan oleh Projek Lebuhraya Usahasama Bhd yang merangkumi pembinaan laluan tambahan di sepanjang jajaran Yong Peng (Utara) ke Senai (Utara), khususnya bagi Fasa 2 dari Sedenak ke Simpang Renggam di Johor.
Skop kerja merangkumi pembersihan tapak, kerja-kerja perobohan, kerja tanah, saliran, pembinaan turapan, penandaan jalan, pemasangan perabot jalan, kerja geoteknikal, pembinaan jambatan, langkah perlindungan alam sekitar, pemindahan utiliti dan sistem pencahayaan.
Fasa kedua peluasan lebuh raya itu telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 untuk menaik taraf jajaran Simpang Renggam–Machap daripada empat kepada enam lorong bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di koridor selatan. -DagangNews.com








