KUALA LUMPUR 16 April - Binasat Communications Bhd memaklumkan, satu kontrak kerja awam bernilai RM13.2 juta yang melibatkan pembinaan pencawang voltan tinggi di Kuala Lumpur telah ditamatkan oleh pihak pemberi projek, Enertra Sdn Bhd.
Menurut Binasat, Enertra membuat keputusan untuk melaksanakan projek tersebut secara dalaman dengan menggunakan sumber, kepakaran dan dana sendiri.
"Penamatan ini tidak melanggar mana-mana syarat dalam surat anugerah kontrak dan lembaga pengarah berpendapat bahawa ia tidak akan memberi kesan kewangan besar terhadap aset bersih dan kedudukan kewangan kumpulan," kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.
Kontrak berkenaan sebelum ini dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh Binasat, Binasat Sdn Bhd.
Ia berkaitan dengan pembinaan pencawang penebat tinggi 132kV bagi projek pusat data Amazon KUL071.
Sementara itu, Binasat kini sedang giat melaksanakan strategi mempelbagaikan portfolio perniagaan dan pelaburan modal.
Pada Disember 2024, syarikat itu menandatangani perjanjian bernilai RM73.54 juta untuk membeli 241 unit suite hotel lengkap di Empire City, Damansara Perdana.
Pada bulan yang sama, Binasat turut menjual 51% pegangan dalam Borderless Connection Sdn Bhd kepada Susjaya Sdn Bhd dengan nilai tunai RM5.92 juta.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024, Binasat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM255,000 dengan hasil pendapatan RM34.17 juta.
Syarikat juga baru-baru ini menukar tarikh akhir tahun kewangannya daripada 30 Jun kepada 31 Disember bagi menyelaraskan laporan kewangan dengan tahun kalendar. - DagangNews.com








