Kontrak di Pulau Pinang lonjak buku pesanan Kerjaya Prospek kepada RM4.1 bilion, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak di Pulau Pinang lonjak buku pesanan Kerjaya Prospek kepada RM4.1 bilion, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mac —  Kerjaya Prospek Group Berhad terus mengukuhkan buku pesanan tertunggaknya kepada RM4.1 bilion selepas meraih kontrak pembinaan terbaharu bernilai RM11.64 juta di Pulau Pinang.
 

Phillip Capital berkata, kontrak tersebut bakal menjana nisbah liputan 2.4 kali ganda daripada hasil diperoleh firma pembinaan pada 2024, dan memastikan pendapatan yang teguh untuk Kerjaya Prospek sehingga 2027.
 

Firma penyelidikan itu berkata, kejayaan menerima tender tersebut menjadikan jumlah nilai kontrak dicagarkan pada FY25 kepada RM318 juta, mewakili 21.2 peratus daripada andaian penambahan buku pesanan setahun penuh sebanyak RM1.5 bilion.
 

"Jika gabungan margin keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 10 peratus, kami anggarkan projek itu menyumbang RM1.1 juta dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) 2025 hingga 2026," katanya dalam nota kajian.
 

Ia mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.60, dan kekal yakin prospek pendapatan syarikat itu, disokong oleh aliran kontrak kukuh daripada pelanggan utama seperti Eastern and Oriental (E&O).
 

Malah Phillip Capital juga menyatakan, projek pembinaan yang akan datang di Shah Alam, Damansara Damai dan Maris menerusi kontrak E&O dijangka terus menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan syarikat.
 

Dalam nota berasingan, BIMB Securities pula meramalkan pembayaran dividen sebanyak 12.0 sen untuk tahun fiskal 2025 (FY25), disokong kedudukan tunai bersih Kerjaya Prospek yang kukuh.
 

"Ini akan bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 5.8 peratus, berdasarkan harga penutup syarikat yang terkini sebanyak RM2.03," kata firma penyelidikan tersebut.
 

Bagaimanapun, syarikat itu mengisytiharkan pembayaran dividen yang lebih tinggi sebanyak 15.0 sen untuk tahun penuh, seperti yang difailkan kepada Bursa Malaysia bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY2024).
 

Walaupun pendapatan stabil syarikat dan hasil dividen yang menarik, saham Kerjaya Prospek terus didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan kira-kira 11x.
 

Keadaan itu mewakili diskaun 17 peratus berbanding rakan setaranya, yang berdagang pada nisbah P/E hadapan sekitar 13.2x.
 

BIMB Securities optimistik tentang prospek syarikat itu dengan melihatkan aliran kontrak yang konsisten, penilaian yang menarik dan hasil dividen yang menggalakkan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas saham itu, dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.59, yang diperoleh daripada penilaian jumlah bahagian (SOP).
 

Tiada semakan dibuat pada unjuran pendapatannya, kerana kejayaan meraih kontrak terkini sejajar dengan jangkaan penambahan buku pesanan FY2025 oleh BIMB Securities. - DagangNews.com