KUALA LUMPUR 24 Mac — Keupayaan Binastra Corporation Berhad mengekalkan momentum perolehan kontrak terus menjadi fokus pelabur, dengan buku tempahan kini melonjak ke paras tertinggi baharu.
Menurut penganalisis, perkembangan itu menyokong keterlihatan pendapatan jangka panjang selepas ia meraih kontrak pembinaan bernilai RM316.5 juta daripada HCK Capital Group Berhad baru-baru ini.
Tender tersebut melibatkan kerja struktur separa siap serta pembinaan dua menara baharu bersama kemudahan parkir dan infrastruktur berkaitan, untuk projek terbengkalai di Subang Jaya, Selangor.
TA Securities dalam analisisnya menyifatkan kemenangan kontrak itu merupakan yang kedua bagi tahun kewangan 2027 (FY27), menjadikan jumlah kontrak baharu setakat ini sudah mencecah RM819.5 juta.
"Ini menyumbang kira-kira 33% daripada sasaran penambahan buku tempahan tahunan sebanyak RM2.5 bilion, dengan buku tempahan terkumpul naik ke paras rekod sekitar RM7.1 bilion," kata firma itu.
Angka tersebut jelasnya, bersamaan dengan liputan 7.5 kali hasil bagi FY25 dan turut menyokong keterlihatan pendapatan Binastra yang terus dinilai positif sehingga empat tahun akan datang.
Sehubungan itu, TA Securities menganggarkan kontrak baharu diperoleh tersebut mampu menjana keuntungan bersih sekitar RM28.5 juta berdasarkan margin 9% yang dicatatkan kumpulan sebelum ini.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut melihat peluang tambahan sehingga RM600 juta daripada fasa seterusnya projek Subang Sentral, dengan jumlah kos pembinaan keseluruhan dianggarkan RM1 bilion.
"Lebih penting, hubungan awal dengan HCK Capital berpotensi membuka akses kepada projek besar, dan anggaran peluang kerja RM4 bilion yang berdasarkan portfolionya di sekitar Lembah Klang," katanya.

Justeru bersandarkan perkembangan semasa ketika ini, TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham Binastra dengan harga sasaran (TP) yang masih juga tidak berubah iaitu RM2.80 sesaham.
Sementara itu, Phillip Capital menekankan bahawa kejayaan Binastra meraih kontrak ini menandakan kemasukan pelanggan baharu, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Susulan kejayaan itu, firma penyelidikan tersebut berkata, buku tempahan syarikat kini mencecah RM7.1 bilion bagi FY27, serta menyediakan keterlihatan pendapatan bagi tempoh tiga hingga empat tahun.
“Sebagai kontraktor utama kerja-kerja Fasa 1, kumpulan berkenaan mempunyai banyak peluang tinggi untuk memperoleh fasa seterusnya projek ini yang dianggarkan bernilai RM1 bilion,” tambahnya.
Phillip Capital turut menganggarkan projek terbaharu kali ini mampu menjana keuntungan sekitar RM30 juta dengan margin bersih sebanyak 9% hingga 10%, sejajar dengan unjuran bagi projek kediaman biasa.
Firma penyelidikan itu dalam notanya, turut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan TP RM2.66 sesaham, berasaskan penilaian 16 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi unjuran Binastra pada FY27.
Ia berpandangan prospek kumpulan itu kekal positif, disokong aliran projek, hubungan rapat dengan pelanggan utama serta kedudukan strategik dalam kitaran pemulihan sektor hartanah dan pembinaan.
"Namun, antara risiko utama termasuk kelewatan projek, tekanan kos yang menjejaskan margin dan kegagalan mengekalkan momentum perolehan kontrak baharu," kata Phillip Capital. - DagangNews.com








