Kontrak baharu kukuhkan pendapatan namun MISC dijangka berdepan margin lebih rendah di bawah kapal LNG baharu - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak baharu kukuhkan pendapatan namun MISC dijangka berdepan margin lebih rendah di bawah kapal LNG baharu - Kenanga Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Feb – Kapal LNG baharu yang bakal dibangunkan oleh MISC Bhd dijangka mencatat hasil lebih sederhana berbanding armada lama seperti kapal kelas Puteri, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata ini kerana MISC berdepan kos perbelanjaan modal (capex) LNG yang meningkat sepanjang tahun, manakala kadar sewaan harian (DCR) kekal sederhana pada sekitar AS$90,000 sehari.

 

Tambahnya, kadar itu jauh lebih rendah berbanding paras puncak AS$200,000 sehari yang dicatat pada 2022.

 

"Berdasarkan andaian capex AS$250 juta setiap kapal, DCR AS$90,000 sehari, IRR projek 7%, WACC 6.1% dan struktur pembiayaan 75% hutang, nilai DCF projek dianggarkan sekitar RM227 juta, bersamaan peningkatan RM0.05 sesaham ke dalam penilaian sum-of-the-parts (SoP). 

 

"Sumbangan keuntungan sebelum cukai (PBT) tahunan dianggarkan sekitar RM83 juta, atau 4% daripada PBT FY26F," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, Kenanga mengekalkan unjuran pendapatan MISC dan menaikkan sasaran harga berasaskan SoP sebanyak 0.5% kepada RM8.70 daripada RM8.65, dengan saranan OUTPERFORM dikekalkan. 

 

Penilaian ESG turut dikekalkan pada penarafan empat bintang.

 

MISC baru-baru ini memberitahu syarikat itu telah menerima surat anugerah daripada Petronas LNG Ltd bagi pembinaan dan sewaan tiga kapal pengangkut LNG baharu untuk tempoh 20 tahun bermula 2029. 

 

Kapal-kapal tersebut akan dibina oleh Hudong Zhonghua Shipbuilding Group Co. Ltd dan diserahkan kepada MISC pada 2029, sebelum disewa secara tetap kepada Petronas LNG.

 

Kenanga berkata, walaupun melibatkan komitmen capex yang besar, langkah ini dilihat positif kerana membolehkan MISC menggantikan pendapatan daripada kapal LNG lama yang kontrak sewaan jangka panjangnya telah tamat, selain mencerminkan komitmen Kumpulan Petronas dalam memperbaharui armada LNG dan memperkukuh perniagaan eksport LNG.

 

Bagaimanapun, Kenanga berpandangan peningkatan kos pembinaan kapal LNG, yang dianggarkan sekitar AS$250 juta setiap kapal, bersama kadar sewaan yang lebih rendah berbanding kitaran puncak sebelum ini, menyebabkan peningkatan nilai kepada MISC adalah lebih sederhana.

 

Di sebalik itu, firma penyelidikan itu berkata, saham MISC kekal digemari kerana pengembangan dan pemodenan armada, hasil dividen yang disokong aliran tunai berulang serta kedudukan kewangan yang kukuh.

 

Selain itu, prospek pertumbuhan jangka panjang perniagaan LNG berikutan peningkatan permintaan global secara struktur memberikan kelebihan kepada kumpulan itu.

 

Namun, Kenanga mengingatkan risiko kepada saranan ini termasuk kadar penggunaan dan sewaan spot armada petroleum yang lebih rendah daripada jangkaan, kos tambahan serta kelewatan projek Mero-3.

 

Selain itu kelemahan struktur berterusan dalam pasaran pengangkutan LNG yang berpotensi menjejaskan keupayaan kumpulan mengekalkan pendapatan berulang jangka panjang bagi segmen gas dan penyelesaian aset. - DagangNews.com