Kontrak baharu di Australia tingkatkan buku tempahan Gamuda ke paras tertinggi RM55.4 bilion – penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak baharu di Australia tingkatkan buku tempahan Gamuda ke paras tertinggi RM55.4 bilion – penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 MeiGamuda Berhad terus memperkukuh pengaruhnya di Australia dalam persaingan sengit industri pembinaan dan peralihan global ke arah trend tenaga hijau, menurut penganalisis.



Justeru, MBSB Research, CGS International (CGSI) dan Public Investment Bank (PublicInvest) mengekalkan pandangan positif terhadap syarikat ini dengan sasaran harga (TP) antara RM5.60 hingga RM5.78.


Tiga firma penyelidikan itu melihat kontrak baharu sebagai bukti kemampuan Gamuda menembusi segmen infrastruktur tenaga hijau global selain mengukuhkan sumber pendapatan jangka panjang kumpulan.


Antaranya, MBSB Research yang masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM5.60 dan terus meletakkan kumpulan itu sebagai pilihan utama sektor pembinaan susulan kejayaannya di Australia.


Kejayaan kumpulan itu meraih kontrak tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terkini bernilai RM3.12 bilion, melonjakkan buku tempahannya ke paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM55.4 bilion.


"Kemenangan kontrak ini mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam ruang infrastruktur peralihan tenaga di negara itu, selain memperluaskan lagi portfolio RE kumpulan tersebut sendiri," katanya.


Ujarnya, projek itu dijangka memberi margin keuntungan sebelum cukai (PBT) pada kadar pertengahan satu digit, namun lebih pantas memandangkan tempoh pembinaan kerja sekitar 2.5 tahun sahaja.


MBSB Research berkata, meskipun margin rendah, projek ini penting bagi memperkukuh aliran kerja dan meningkatkan penglibatan berulang melalui perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M).


Firma penyelidikan berkenaan turut mendedahkan yang Gamuda kini memiliki saluran projek RE kira-kira 4GW yang merangkumi jenis solar, angin, hidro dan sistem bateri di Malaysia serta Australia.


Sasaran Buku Tempahan RM50 Bilion Dilihat Konservatif

Sementara itu, CGSI berpandangan sasaran buku tempahan RM50 bilion ditetapkan menjelang akhir 2026 kini dilihat sebagai konservatif susulan momentum kemenangan projek yang diraih semakin kukuh.


Tambahnya, pemerolehan kontrak baharu menjadikan jumlah kemenangan projek tahun kewangan semasa mencecah RM24.2 bilion dengan nilai buku tempahan meningkat kepada RM55.3 bilion setakat Mei 2026.


Menurut firma itu, Gamuda kini semakin agresif menembusi pasaran tenaga hijau di Australia yang dijangka menawarkan banyak tender sehingga A$50 bilion (RM141.1 bilion) antara FY27 hingga FY29.


“Sebahagian projek itu diperoleh menerusi kaedah 'Early Contractor Involvement' (ECI), sekali gus memberikan keterlihatan kemenangan kontrak yang tinggi berbanding tender tradisional,” kata CGSI.


Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'tambah' dengan TP RM5.78 sesaham yang berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP), disokong kepelbagaian buku pesanan dan prospek projek yang masih besar.


Dalam pada itu, PublicInvest pula mengekalkan saranan 'outperform' dengan TP RM5.60 selepas kontrak tersebut dianggap berada dalam jangkaan awal dan meningkatkan buku tempahan terkumpul.


"Kami menganggarkan projek itu mampu menyumbang 2.6% kepada keuntungan bersih tahunan sepanjang tempoh kontrak lebih dua tahun tersebut yang berdasarkan kepada kiraan margin PBT 5%," katanya.


Selain skop reka bentuk dan pembinaan, Gamuda menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan jangka panjang, yang menyokong kestabilan pendapatan berulang kumpulan pada masa depan. - DagangNews.com