KUALA LUMPUR 28 Julai – Konflik yang berterusan di Timur Tengah akan menjadi pemangkin kepada pemulihan prestasi Gas Malaysia Bhd apabila kenaikan harga gas asli global dijangka mula menyokong keuntungan syarikat bermula suku keempat 2026, menurut UOB Kay Hian (UOBKH).
Firma penyelidikan itu berkata konflik berkenaan dijangka meningkatkan harga gas asli kepada sekitar RM45 hingga RM50 bagi setiap juta unit termal British (mmBtu), berbanding purata sekitar RM34 setiap mmBtu bagi sembilan bulan pertama tahun ini.
“Kenaikan harga gas akan memberi manfaat besar kepada Gas Malaysia memandangkan antara 50% hingga 60% keuntungan kumpulan disumbangkan oleh Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd yang membekalkan gas kepada pelanggan industri.
“Kami menganggarkan setiap kenaikan 1% harga gas asli berpotensi meningkatkan keuntungan bersih Gas Malaysia sebanyak kira-kira 4%, sekali gus meletakkan syarikat itu pada kedudukan lebih kukuh untuk menamatkan 2026 dan meneruskan momentum itu sepanjang tahun 2027.
"Konflik di Timur Tengah akan menyebabkan harga gas asli meningkat mulai suku keempat 2026. Ini menunjukkan penamat tahun yang lebih kukuh bagi Gas Malaysia selain limpahan manfaat daripada harga gas yang lebih tinggi ke tahun 2027,” kata UOB Kay Hian dalam nota kajiannya.
Prestasi separuh pertama dijangka lemah
Walaupun prospek jangka sederhana bertambah baik, UOBKH menjangkakan Gas Malaysia akan mencatatkan penurunan keuntungan bersih kira-kira 10% bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan prestasi suku kedua 2026 (2Q26) yang lebih lemah.
Menurutnya, prestasi tersebut dipengaruhi pergerakan harga gas asli susulan turun naik harga minyak mentah dunia, selain peningkatan kos kakitangan dan pentadbiran serta pulangan yang sedikit lebih rendah daripada aset yang dikawal selia.
Firma penyelidikan itu berkata, tekanan terhadap keuntungan dijangka berkurangan apabila harga gas mula meningkat menjelang penghujung tahun, sekali gus menyokong prestasi kewangan syarikat.
Bagaimanapun, UOBKH turut menurunkan unjuran keuntungan bersih Gas Malaysia sebanyak 7% bagi mengambil kira kos permulaan projek Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair di Yan, Kedah.
Projek Yan kekal pemangkin jangka panjang
Dalam perkembangan berasingan, UOBKH berkata perancangan projek yang akan dibangunkan sebagai Unit Simpanan dan Regasifikasi Terapung itu masih di peringkat penilaian dan berkemungkinan berubah mengikut keperluan pasaran.
Menurutnya, kapasiti asal terminal berkenaan sebanyak enam juta tan metrik setahun (mtpa) berkemungkinan dikurangkan kepada empat juta tan metrik setahun dengan memberi tumpuan kepada seorang pembeli utama (offtaker) pada fasa awal projek.
“Selain itu, tarikh operasi komersial projek tersebut kini dijangka bermula pada pertengahan 2030 berbanding sasaran asal pada 2029.
“Walaupun skop projek dikurangkan dan jadual pelaksanaannya ditangguhkan, kami menganggarkan projek terminal LNG di Yan mampu mewujudkan nilai ekuiti positif sekitar RM750 juta kepada Gas Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, UOBKH mengekalkan saranan "pegang" terhadap saham Gas Malaysia dengan harga sasaran RM6 sesaham. Harga sasaran itu turut mengambil kira potensi peningkatan nilai sebanyak 58 sen sesaham daripada projek di Yan.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan pandangan bahawa prospek jangka sederhana Gas Malaysia kekal positif sekiranya harga gas asli terus meningkat susulan ketidaktentuan geopolitik global. - DagangNews.com








