Pembelian awal punca jualan DXN Holdings 1QFY27 lemah, prospek jangka panjang kekal positif - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian awal punca jualan DXN Holdings 1QFY27 lemah, prospek jangka panjang kekal positif - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Julai - Prospek pertumbuhan jangka panjang DXN Holdings Bhd dilihat kekal kukuh walaupun prestasi kewangan bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) berada di bawah jangkaan berikutan kelemahan jualan yang dipengaruhi faktor sementara.

 

RHB Research berkata, kelemahan jualan itu sebahagian besarnya disebabkan kesan terjemahan pertukaran asing (FX) yang tidak menggalakkan serta tindakan pengedar membuat pembelian lebih awal sebelum pelaksanaan kenaikan harga produk.

 

"Bagaimanapun kami berpandangan faktor tersebut tidak menjejaskan asas pertumbuhan syarikat dalam jangka panjang yang terus disokong oleh strategi pengembangan ke pasaran baharu, selain pelaburan dalam operasi huluan dan kapasiti pembuatan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

 

Bagi suku berakhir Februari 2026, keuntungan bersih teras DXN susut 20.8% tahun ke tahun kepada RM58.5 juta, iaitu sekitar 18% daripada unjuran pendapatan setahun penuh, manakala hasil merosot 7.5% kepada RM443 juta.

 

Prestasi itu turut dipengaruhi oleh asas kos tetap yang lebih tinggi susulan pelaburan berterusan dalam pembangunan operasi baharu, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan.

 

RHB Research menjangkakan jualan akan kembali pulih bermula suku kedua FY27 apabila pengedar secara berperingkat menyambung semula aktiviti penambahan inventori selepas kesan pembelian awal berakhir.

 

Malah, tempahan dilaporkan telah mula meningkat sejak Jun, manakala kenaikan harga purata sekitar 10% dijangka menyokong pertumbuhan hasil apabila jumlah jualan kembali normal.

 

Pelaburan Strategik Pacu Pertumbuhan Masa Depan

Katanya, walaupun pemulihan keuntungan dijangka berlaku secara beransur-ansur, firma itu percaya pelaburan strategik yang sedang dilaksanakan akan menjadi pemacu pertumbuhan pada masa hadapan.

 

Antara inisiatif tersebut termasuk pembangunan operasi kopi huluan di Gua Musang, pembinaan kemudahan pembuatan baharu serta usaha memperluaskan pasaran eksport ke negara-negara baharu.

 

Menurutnya, pelaburan berkenaan dijangka terus meningkatkan kos dalam tempoh terdekat dan beberapa operasi baharu mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk mencapai tahap keuntungan.

 

Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham DXN Holdings, namun menurunkan harga sasaran kepada RM0.55 daripada RM0.60 selepas menyemak semula unjuran pendapatan bagi FY27 hingga FY29 untuk mengambil kira kos pengembangan yang lebih tinggi serta kadar cukai efektif yang meningkat.

 

Walaupun jangkaan keuntungan jangka pendek disemak lebih rendah, firma itu berpendapat prospek pertumbuhan DXN masih kekal menarik, disokong oleh strategi pengembangan yang diyakini mampu memperkukuh asas pendapatan syarikat dalam jangka panjang apabila pelaburan semasa mula memberikan pulangan. - DagangNews.com