Konflik Timur Tengah beri impak terhad kepada Malaysia, inflasi dijangka kekal terkawal - MARC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Konflik Timur Tengah beri impak terhad kepada Malaysia, inflasi dijangka kekal terkawal - MARC

Kemusnahan di Tehran susulan perang antara Iran-Amerika Syarikat-Israel turut membabitkan harta awam. Gambar / AFP
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Mac – Impak konflik geopolitik di Timur Tengah terhadap Malaysia dijangka kekal sederhana berikutan pendedahan perdagangan yang minimum dengan rantau tersebut serta kedudukan negara sebagai pengeksport bersih hidrokarbon, menurut MARC Ratings.

 

Agensi penarafan itu berkata, struktur perdagangan Malaysia yang lebih tertumpu kepada Asia, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), jentera serta produk minyak sawit, terus menjadi faktor penampan kepada ketidaktentuan global.

 

“Pengalaman semasa perang Rusia-Ukraine menunjukkan eksport Malaysia masih berkembang kukuh walaupun harga minyak mentah Brent melebihi USD100 setong,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Bagaimanapun, tekanan inflasi dijangka meningkat, terutama dalam segmen pengangkutan berikutan harga diesel dan bahan api jet yang ditentukan pasaran. Walaupun petrol RON95 masih dilindungi subsidi kerajaan, kenaikan kos pengangkutan berpotensi mencetuskan kesan inflasi sekunder.

 

Namun begitu, kesan keseluruhan terhadap inflasi dijangka terkawal memandangkan komponen pengangkutan hanya merangkumi kira-kira 10% daripada bakul Indeks Harga Pengguna (IHP), selain pelaksanaan subsidi bersasar.

 

“Inflasi Malaysia dijangka meningkat tetapi kekal sekitar 2% pada 2026,” menurut laporan itu.

 

Kesan Fiskal

Dari sudut fiskal, MARC Ratings menjangkakan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mungkin meningkat susulan keperluan subsidi lebih tinggi, namun kekal sihat di bawah paras 4%, disokong oleh rasionalisasi perbelanjaan dan peningkatan hasil kerajaan.

 

Dalam pada itu, industri utama seperti E&E, kimia, pertanian dan logistik dijangka berdepan tekanan kos input lebih tinggi, khususnya melibatkan petroleum bertapis dan baja.

 

Sebaliknya, konflik tersebut berpotensi memberi manfaat kepada pengeksport gas asli cecair (LNG) Malaysia serta sektor minyak sawit mentah (CPO), susulan peningkatan permintaan biofuel apabila harga minyak global meningkat.

 

Mengambil kira keseimbangan antara risiko luaran dan daya tahan domestik, MARC Ratings mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada 4.6% bagi 2026, dengan risiko penurunan antara 0.2 hingga 0.4 mata peratusan bergantung kepada perkembangan konflik.

 

Selain itu, julat unjuran ringgit bagi jangka pendek telah diperluaskan kepada 3.92 hingga 4.07 berbanding dolar AS, berbanding 3.88 hingga 3.98 sebelum ini, mencerminkan sentimen penghindaran risiko global serta jangkaan pengurangan kadar faedah AS yang semakin berkurangan.

 

Agensi itu turut menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sepanjang 2026, mengambil kira tekanan inflasi dan risiko pertumbuhan global.

 

Dalam masa sama, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10 tahun dijangka berada pada paras 3.55% hingga 3.60% dalam jangka pendek, lebih tinggi berbanding unjuran sebelumnya.

 

Asas Ekonomi Kukuh

Walaupun landskap geopolitik kekal tidak menentu, MARC Ratings berpandangan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, disokong oleh permintaan domestik yang stabil, pertumbuhan berterusan serta struktur ekonomi yang pelbagai.

“Malaysia berada pada kedudukan baik untuk pulih selepas fasa ketidaktentuan ini, yang dijangka bersifat sementara,” katanya. - DagangNews.com