KUALA LUMPUR 24 Mac – Jualan kenderaan di Malaysia dijangka menurun pada suku pertama 2026 (1Q26) dipengaruhi oleh bilangan hari bekerja yang lebih sedikit serta kehadiran dua musim perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, kata RHB Research.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut berkata konflik berpanjangan di Iran boleh meningkatkan kos logistik bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU), didorong oleh harga bahan api yang lebih tinggi serta kemungkinan perubahan laluan penghantaran.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah volum industri (TIV) bagi Februari 2026 sekitar 52,414 unit, merosot 19% berbanding bulan sebelumnya dan 20% berbanding tempoh sama tahun lalu.
RHB Research berkata prestasi lemah secara bulanan itu sememangnya dijangka berikutan faktor bermusim termasuk cuti perayaan dan tempoh operasi kilang yang lebih pendek.
“Jumlah pengeluaran kenderaan (TPV) turut mencatatkan penurunan sekitar 20% tahun ke tahun kepada kira-kira 50,000 unit.
“Penurunan jualan pada Februari banyak dipengaruhi oleh pengeluar utama tempatan, dengan Proton merekodkan kejatuhan 32% bulan ke bulan, diikuti Perodua susut 10% dan Chery turun 27%.
“Bagaimanapun, jenama bukan nasional menunjukkan sedikit daya tahan apabila Toyota dan Honda masing-masing mencatatkan peningkatan jualan 3% dan 5% secara bulanan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Dari segi prestasi tahun ke tarikh (YTD) sehingga Februari 2026, jumlah TIV mencatatkan peningkatan kecil 1.3% kepada 116,712 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengeluar kereta nasional terus mendominasi pasaran tempatan dengan jualan sebanyak 71% dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Dalam segmen kenderaan elektrik (EV), Proton kekal sebagai jenama paling laris dengan pendaftaran sebanyak 1,802 unit pada Februari walaupun susut 45% berbanding Januari.
Jenama lain seperti BYD dan Chery turut mencatatkan penurunan pendaftaran masing-masing 49% dan 35%, menjadikan jumlah keseluruhan EV turun 42% kepada 3,635 unit.
Namun, penembusan EV dalam pasaran meningkat kepada 7.9% daripada jumlah keseluruhan pendaftaran, berbanding hanya 5.1% pada tahun 2025.
RHB Research berkata permintaan EV dijangka terus tertumpu kepada model pemasangan tempatan (CKD) yang mendapat manfaat daripada insentif cukai kerajaan sehingga penghujung 2027.
Bagi bulan Mac, jualan kenderaan dijangka kekal perlahan, selain dipengaruhi sentimen pengguna yang berhati-hati susulan kenaikan harga minyak mentah global melebihi AS$110 setong.
“Secara keseluruhan, prospek sektor automotif kekal Neutral dengan anggaran TIV 2026 sekitar 805,000 unit, sedikit susut 2% tahun ke tahun, selain risiko tekanan daripada persaingan harga dan kelembapan kitaran penggantian kenderaan,” katanya.
Firma tersebut memilih saham tertentu untuk dibeli seperti MBM Resources dengan harga sasaran RM6.00, Bermaz Auto pada RM0.95, Sime Darby pada RM2.55 serta Tan Chong Motor pada RM0.90. - DagangNews.com








