KUALA LUMPUR 17 Mac — Pelaburan Intel Corporation di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila kompleks pembungkusan termaju serta kemudahan pemasangan dan ujian dijangka mula beroperasi lewat tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menerima taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Tan Lip Bu berhubung perkembangan terkini pelaburan syarikat teknologi global itu di negara ini.
Menurut beliau, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan pembangunan kompleks pembungkusan termaju yang menjadi komponen penting dalam rantaian nilai industri semikonduktor.
“Pihak Intel turut membentangkan perancangan untuk memulakan fasa pertama kompleks tersebut yang merangkumi aktiviti pemasangan dan pengujian bagi pembungkusan maju,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyambut baik keputusan Intel untuk memulakan operasi di fasiliti berkenaan dalam tempoh terdekat, selaras dengan usaha kerajaan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan memperkukuh pembangunan bakat tempatan melalui latihan berterusan dan program peningkatan kemahiran bagi menyokong keperluan industri berteknologi tinggi.
Langkah tersebut dilihat penting dalam memastikan Malaysia mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, seiring aspirasi Ekonomi Madani.
Kerajaan, katanya, akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan pelaburan strategik seperti ini memberikan impak jangka panjang kepada ekonomi negara.
“Inisiatif ini juga selari dengan pelaksanaan pelan pembangunan utama negara termasuk Strategi Semikonduktor Nasional,” jelas beliau. - DagangNews.com








