KUALA LUMPUR 13 Mei — Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar sejarah apabila menjadi perintis dalam usaha penternakan akuakultur secara komersial udang kara air tawar di institusi pengajian tinggi tersebut.
Pengetuanya, Dr Daljit Singh Karam Singh berkata, langkah unik itu dijangka mampu menjana hasil bukan sahaja kepada kolej tersebut, malahan selaras agenda UPM sendiri yang menekankan pendidikan holistik, kelestarian dan pembangunan modal insan.

Beliau yang juga Ketua Editor Malaysian Journal of Soil Science di Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM menambah, projek itu bermula dengan penghantaran empat ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan empat staf KTAG ke Kota Kinabalu, Sabah.
"Mereka mengikuti latihan intensif di Eastern College selama empat hari bermula 23 Januari 2025 dan kira-kira RM15,000 dibelanjakan termasuk pembinaan kawasan ternakan berkeluasan 25 meter persegi di hujung KTAG," katanya kepada DagangNews.com.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis pelepasan udang tersebut oleh Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah sebelum mengikuti demonstrasi masakan bersama-sama dengan Pengarah Projeknya, Muhammad Alif Haikal Mahadi.
Mengulas lanjut, Daljit berkata, mereka menyediakan enam tong besar tangki air terpakai kolej itu sendiri dengan setiap satu mampu masing-masing memuatkan buat permulaan sebanyak 10 ekor udang kara jantan dan 20 ekor betina spesies tersebut.

Berdasarkan pengiraan awal jelasnya, setiap tong berupaya menghasilkan sebanyak 2,000 telur dengan sasaran sekurang-kurangnya 1,000 anak udang akan hidup membesar dan apabila dituai setelah usia matang, ia mampu memberi pulangan kasar RM90,000.
"Anggaran ini berdasarkan harga seekor udang kara kelazimannya dijual antara RM10 sehingga RM20 di pasaran manakala jika sekilogram dengan kebiasaannya mengandungi lapan ekor pula ia boleh mencecah antara RM80 sehingga RM120," kata beliau lagi.

Daljit menambah, benih undang berkenaan dibeli dengan harga cukup murah daripada sebuah pusat penternakan di Johor dan mereka berharap, dapat menjualnya kepada masyarakat menerusi pasar UPM sendiri untuk dibeli pada harga yang berpatutan.
Sementara itu, Muhammad Alif Haikal, 22, yang ditemui DagangNews.com berkata, spesies udang tersebut dipilih kerana ia mudah diternak termasuk dari segi penjagaan yang tidak terlalu rumit dan senang membiak dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Penuntut tahun dua Fakulti Ekologi Manusia UPM itu menambah, seramai 20 pelajar menghuni KTAG terlibat dalam projek berkenaan sejak dimulakan pada Januari 2025 dan ia juga merupakan projek pertama seumpamanya di universiti itu sendiri.
"Bagi fasa pertama, kami hanya ternak sebanyak 180 ekor sebagai induk sulung dan spesies ini cepat membesar kerana dalam masa tiga bulan sahaja ia sebenarnya sudah pun dewasa dan boleh dituai sebelum dijual kepada masyarakat," katanya.


Sebelum itu jelas Muhammad Alif Haikal, KTAG pernah mengusahakan tanaman cili dan cendawan sebagai projek pertanian yang dilaksanakan para penghuni asrama berkenaan namun udang kara dilihat lebih berpotensi dari segi pulangan jangka panjang.
Beliau berharap usaha perintis ternakan udang tersebut dapat dijadikan contoh kolej-kolej kediaman lain di UPM selain memberi manfaat kepada ekosistem dan inspirasi kepada lebih banyak projek lestari lain pada masa akan datang. - DagangNews.com








