Knusford jual tanah pegangan bebas RM7 juta di Setapak kepada Tahap Juara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Knusford jual tanah pegangan bebas RM7 juta di Setapak kepada Tahap Juara

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 MacKnusford Berhad melupuskan sebidang tanah pegangan bebas miliknya di Setapak, Kuala Lumpur dengan nilai pertimbangan tunai sebanyak RM7.0 juta kepada Tahap Juara Sdn Bhd.


Penjualan berkenaan dilaksanakan menerusi anak syarikat penuhnya, Knusford Holdings Sdn Bhd pada hari ini dengan kedua-dua pihak tersebut memeterai perjanjian jual beli (SPA) secara bersyarat.


Jelas kumpulan tersebut, tanah seluas 0.304 hektar yang terletak di Lot 3658, Mukim Setapak itu ketika ini digunakan oleh pihak berkaitan untuk tujuan penyimpanan peralatan secara bulanan. 


"Cadangan pelupusan ini merupakan peluang bagi kumpulan untuk mencairkan nilai pelaburan dan mengewangkan aset bukan teras syarikat," kata Knusford dalam makluman kepada Bursa Malaysia. 


Kumpulan itu dijangka merekodkan keuntungan bersih kira-kira RM4.55 juta hasil daripada pelupusan tersebut setelah diambil kira nilai buku audit hartanah berjumlah RM1.98 juta setakat 31 Mac 2025. 


Sehubungan penjualan tersebut kata kumpulan berkenaan, perolehan daripada pelupusan ini akan digunakan semula untuk tujuan modal kerja am syarikat yang memerlukan suntikan dana tambahan.


Urus niaga ini diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan memandangkan beberapa pengarah dan pemegang saham utama syarikat, termasuk mempunyai kepentingan dalam Tahap Juara sendiri. 


"Susulan itu, pengarah-pengarah yang berkepentingan telah berkecuali daripada semua perbincangan dan pengundian Lembaga Pengarah Knusford berkaitan cadangan pelupusan ini," jelasnya.


Bagaimanapun pihak lembaga tersebut menjangkakan urusan pelupusan tanah ini akan selesai sepenuhnya menjelang Julai 2026. - DagangNews.com