KUALA LUMPUR 29 April – KMI Healthcare, anak syarikat TDM Berhad sedang memperkukuh usaha pengembangan serantau apabila mengadakan lawatan strategik ke Jakarta, Indonesia bagi membina kerjasama dengan syarikat insurans dan pentadbir pihak ketiga (TPA) dalam usaha menarik lebih ramai pesakit antarabangsa ke Malaysia.
Lawatan tersebut memberi fokus kepada pembangunan rangkaian rujukan pesakit dari Indonesia, khususnya dalam kalangan mereka yang mendapatkan perlindungan insurans kesihatan untuk rawatan di luar negara.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang KMI Healthcare untuk memperluaskan kehadirannya di pasaran Indonesia yang dilihat sebagai antara sumber utama pertumbuhan pesakit antarabangsa.
Dalam masa yang sama, usaha ini turut menyokong perkembangan sektor pelancongan kesihatan serantau yang semakin berkembang dengan peningkatan permintaan terhadap rawatan rentas sempadan.
Sepanjang lawatan di Jakarta, KMI Healthcare mengadakan sesi libat urus bersama beberapa penyedia insurans dan TPA bagi memperkukuh kefahaman mengenai proses rujukan pesakit serta mekanisme tuntutan insurans yang lebih efisien.
Antara organisasi yang terlibat termasuk Across Asia Assist, yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran penjagaan kesihatan dan pengurusan tuntutan insurans di Indonesia.

Ketua Pegawai Operasi KMI Healthcare, Ir. Ts. Dr. Nurul Islam Mohamed Yusof berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama dalam bentuk lantikan panel atau perjanjian rasmi bagi membolehkan pesakit berinsurans mendapatkan akses lebih mudah kepada perkhidmatan hospital KMI di Malaysia.
“Sekiranya terdapat keselarasan antara kedua-dua pihak, KMI Healthcare bersedia untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) atau pelantikan panel bagi memudahkan kerjasama tersebut.
“Usaha ini penting bagi memastikan proses rawatan pesakit antarabangsa dapat dijalankan dengan lebih lancar, teratur dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
KMI Healthcare menekankan kekuatannya yang terletak pada rangkaian perkhidmatan perubatan pakar, fasiliti moden serta penjagaan kejururawatan yang mementingkan keselesaan dan keperluan individu pesakit.
Syarikat itu menyasarkan pesakit dari Indonesia yang mempunyai perlindungan insurans, khususnya bagi mereka yang memerlukan pandangan kedua perubatan serta rawatan elektif di hospital pakar swasta di Malaysia.
Melalui kerjasama dengan penyedia insurans dan TPA, KMI Healthcare menjangkakan peningkatan akses serta keyakinan pesakit untuk mendapatkan rawatan di fasiliti mereka di Malaysia.
Inisiatif ini juga dilihat mampu mengukuhkan kedudukan KMI Healthcare sebagai antara penyedia perkhidmatan kesihatan swasta yang kompetitif dalam segmen pelancongan kesihatan serantau.
KMI Healthcare merupakan sebahagian daripada Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. yang mengendalikan beberapa hospital di Malaysia termasuk di Kelana Jaya, Kuantan, Kuala Terengganu, Taman Desa dan Tawau, dengan komitmen menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan. - DagangNews.com








