KLK sasarkan peluang projek hartanah industri dengan GDV RM7 bilion pada FY26, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLK sasarkan peluang projek hartanah industri dengan GDV RM7 bilion pada FY26, kata HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 MacKuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menyasarkan peluang hasil baharu daripada pembangunan hartanah industri pada FY26, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, prospek itu semakin positif susulan langkah syarikat memasuki segmen pembangunan aset berkenaan melalui usaha sama (JV) yang dimulakan sejak November 2024.


Pada ketika ini, kumpulan berkenaan mempunyai tiga projek hartanah industri dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM7 bilion, yang akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat.


"Untung penjualan tanah dijangka menyumbang kepada pendapatan KLK bermula tahun kewangan 2026, selain mengekalkan pertumbuhan kukuh segmen perladangan huluan," kata HLIB dalam analisisnya.


Perkembangan positif berkenaan jelas firma tersebut, termasuk hasil daripada penjualan tanah kepada AME Elite Consortium Berhad pada FY26 dan juga pelupusan kepada BYD Company Limited menjelang FY27.


Berdasarkan situasi semasa itu, ia terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) dalam masa 12 bulan yang masih tidak berubah iaitu RM21.48 sesaham 


Di samping itu, HLIB optimis dengan sasaran KLK mencatatkan pertumbuhan satu digit sederhana bagi pengeluaran buah tandan segar (BTS) pada FY26, disokong oleh keadaan cuaca yang lebih baik.


"Keadaan ini disokong pengurusan ladang yang dipertingkatkan serta perubahan corak pengeluaran tanaman, dengan empat bulan pertama FY26, pengeluaran naik 6.9% tahun ke tahun (YoY)," katanya.


Tambahnya, pihak pengurusan yakin momentum itu dapat dikekalkan sepanjang tahun kewangan semasa, sambil menyatakan potensi fenomena cuaca El Niño dijangka tidak memberi kesan ketara kepada hasil.

 

KLK


Jelas HLIB, impak berkenaan kelazimannya mengambil masa sekitar 12 bulan untuk dirasai, manakala dari segi kos operasi, KLK menjangkakan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) kekal stabil.


Kumpulan itu menyasarkan bawah RM2,000 satu tan bagi FY26, dengan walaupun kos baja dan tenaga kerja diramal meningkat, kesannya dijangka dapat diimbangi oleh peningkatan produktiviti ladang.


"Keadaan tersebut membantu kadar perahan minyak yang lebih baik, sementara kumpulan itu juga telah mendapatkan bekalan baja bagi FY26 lebih awal, iaitu sejak akhir tahun lepas," tambahnya lagi.


Dari segi operasi ladang, KLK merancang penanaman semula 7,200 hektar kelapa sawit pada FY26, berbanding 7,500 hektar pada FY25, yang meliputi Sabah, serta Riau dan Belitung di Indonesia.


Kumpulan itu jelas HLIB turut menjangkakan perbelanjaan modal (capex) lebih tinggi sekitar RM1.2 bilion pada FY26, yang sebahagian besarnya akan diperuntukkan bagi aktiviti penanaman semula.


Kata firma penyelidikan tersebut, setiap perubahan sebanyak RM100 bagi satu tan metrik dalam harga MSM berpotensi memberi kesan kira-kira 3% kepada unjuran pendapatan teras syarikat berkenaan.


"Bagaimanapun, kami berpandangan isu pelaburan dalam syarikat kimia, Synthomer PLC yang berpusat di Eropah itu masih terus menjadi faktor tekanan kepada pendapatan kumpulan tersebut," katanya.


Selain itu tambah HLIB, penurunan ketara harga saham Synthomer, kesan akibat permintaan lemah dan kos tenaga tinggi, turut meningkatkan risiko kerugian penurunan nilai terhadap pelaburan KLK sendiri.


Walaupun berdepan cabaran itu, ia mengekalkan pandangan positif terhadap KLK, disokong oleh prospek pertumbuhan perladangan serta pemangkin baharu daripada segmen hartanah industri. - DagangNews.com