KUALA LUMPUR 31 Ogos – Bermula 1 September 2025, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan memulakan ujian rintis bagi Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) baharu di aras 5, ruang turun penumpang dan aras 3 ruang ambil penumpang, Terminal 1.
Ujian ini akan berlangsung sehingga 30 November 2025.
Bagi Terminal 2, tempoh percubaan VAMS akan bermula pada 15 September hingga 30 November 2025.
Sistem baharu ini diperkenalkan bagi memperbaiki aliran trafik, meningkatkan keselamatan, serta memastikan akses yang lebih lancar ke terminal melalui penggunaan pintu penghadang dengan tempoh masuk dan keluar yang ditetapkan.
Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani, lapangan terbang di seluruh dunia sedang beralih kepada pengurusan kawasan kerbside yang lebih pintar bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan pengalaman penumpang.
"Di KLIA, matlamat kami adalah untuk mewujudkan persekitaran lapangan terbang yang lebih selamat, cekap dan mesra pengguna.
"Terminal adalah antara perkara pertama dan terakhir yang akan diingati pelancong tentang Malaysia, dan kami mahu ia mencerminkan keramahan dan kecekapan negara, lebih-lebih lagi dalam persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya dalam kenyataan.
Sepanjang tempoh ujian, sistem VAMS akan memberikan tempoh percuma selama 10 minit untuk aktiviti menurunkan dan mengambil penumpang.
Sistem ini akan memantau kenderaan yang melebihi tempoh tersebut.
Tiada caj penalti akan dikenakan sepanjang fasa ini, sebaliknya tumpuan akan diberikan kepada pemantauan corak trafik, tingkah laku pemandu, serta prestasi sistem secara keseluruhan untuk menentukan tempoh masa yang optimum serta struktur caj penalti apabila dilaksanakan sepenuhnya.
Selepas tempoh ujian berakhir, caj penalti akan diperkenalkan bagi mengelakkan kenderaan menunggu terlalu lama di kawasan kerbside.
Penetapan tempoh masa dan kadar penalti akan berdasarkan data yang dikumpul semasa tempoh ujian, bagi memastikan keseimbangan antara aksesibiliti dan pengurusan trafik dapat dicapai secara efektif.
Inisiatif ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan, memendekkan masa menunggu, serta meningkatkan tahap keselamatan terutamanya pada waktu puncak.
"Ia merupakan sebahagian daripada agenda penambahbaikan perkhidmatan Malaysia Airports dalam usaha memposisikan KLIA sebagai lapangan terbang yang lebih cekap, berorientasikan pengguna, dan bersedia menghadapi masa depan," kata kenyataan itu. - DagangNews.com








