KLIA jadi transit bagi laluan London-Melbourne British Airways | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLIA jadi transit bagi laluan London-Melbourne British Airways

SEBUAH pesawat British Airways yang mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang, Selangor. - Foto ihsan MAHB
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Mac — Pelancaran laluan baharu London ke Melbourne melalui Kuala Lumpur oleh British Airways dilihat bakal mengukuhkan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).


Menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), langkah syarikat penerbangan United Kingdom tersebut turut menjadikan terminal udara di Sepang, Selangor itu sebagai hab transit strategik global.


Perkhidmatan harian bermula 9 Januari 2027 itu menghubungkan tiga rantau utama iaitu Eropah, Asia Tenggara dan Australia, yang meningkatkan daya saing KLIA dalam rangkaian jarak jauh antarabangsa.


"Laluan tersebut akan dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 787, yang menawarkan empat kelas perkhidmatan termasuk ekonomi, premium ekonomi, kelas perniagaan dan kelas pertama," jelasnya.


Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pengembangan operasi British Airways mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan KLIA sebagai pintu masuk utama ASEAN.


Perkhidmatan terbaharu ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan antara tiga rantau, malah mengukuhkan peranan Kuala Lumpur sebagai hab transit yang cekap bagi perjalanan jarak jauh.


"Langkah berkenaan turut menyokong aspirasi MAHB sendiri untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang paling berhubung di rantau Asia Pasifik,” tambah beliau menerusi kenyataan tersebut.

 

British Airways
Foto ihsan MAHB


Dalam pada itu, Ketua Perancangan dan Strategi British Airways, Neil Chernoff berkata, laluan baharu melalui Kuala Lumpur dijangka mendapat sambutan baik pelancong dan pengembara perniagaan.


Ujarnya, Kuala Lumpur kekal sebagai pintu masuk penting dalam rangkaian Asia Pasifik syarikat penerbangan itu, dan peluasan ini mencerminkan komitmen berterusan terhadap rantau berkenaan.


"Selain meningkatkan pergerakan penumpang, laluan ini turut menyediakan kapasiti kargo tambahan, sekali gus menyokong aliran perdagangan antara Britain, Malaysia dan Australia," kata beliau.


MAHB menjelaskan lanjut berkata, KLIA dalam keadaan bersedia menampung peningkatan trafik dengan keupayaan operasi kukuh, proses penumpang efisien serta penambahbaikan segala kemudahan terminal.


Perkembangan ini juga tambahnya, adalah sejajar dengan trend peningkatan permintaan perjalanan antarabangsa serta kempen pelancongan negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).


"Situasi semasa ini sekali gus memperkukuh peranan KLIA dalam menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan industri penerbangan jangka panjang," kata MAHB. - DagangNews.com