KUALA LUMPUR 6 Mac — KKB Engineering Berhad memperoleh tender tempahan pembelian paip dan kontrak bekalan tiang keluli yang mencecah jumlah keseluruhan RM19 juta daripada dua syarikat berbeza.
Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perkembangan terbaharu itu dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangannya sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Tambahnya, ia menerima tempahan pembelian daripada Belianemas Synergy Sdn Bhd bagi pembekalan paip jenis keluli lembut berlapik simen (MSCL) dan komponen paip khas yang diperlukan dalam industri.
"Selain itu, kami turut menerima surat penganugerahan (LOA) daripada Sarawak Energy Berhad bagi pembekalan serta penghantaran tiang keluli dan aksesori yang berkaitan," jelas KKB Engineering.
Menurutnya, tempahan paip dijangka dilaksanakan secara berperingkat dan siap menjelang separuh kedua 2027, manakala kontrak dengan Sarawak Energy mempunyai tempoh dua tahun sehingga 2028.
Tender tersebut katanya, tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham syarikat, namun dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan sepanjang tempoh bekalan.
Bagaimanapun, KKB Engineering memaklumkan pelaksanaan projek itu terdedah kepada beberapa risiko seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan mentah, serta turun naik kadar pertukaran asing.
"Kumpulan ini namun sudah bersedia termasuk kemungkinan besar sekiranya berlaku sebarang risiko perubahan harga, keadaan cuaca ekstrem serta faktor politik, ekonomi dan kawal selia," katanya.
Lembaga pengarah kumpulan itu tambahnya berpandangan bahawa tempahan pembelian dan kontrak tersebut adalah dalam kepentingan terbaik syarikat berkenaan. - DagangNews.com








