KUALA LUMPUR 21 Nov – Segmen kejuruteraan KKB Engineering Berhad yang mencatat kerugian pada suku ketiga tahun kewangan 2025, terus menjejaskan prestasi keseluruhan kumpulan berkenaan.
Justeru, RHB Research mengekalkan saranan 'beli', namun menurunkan harga sasaran sesaham kepada RM1.47 daripada RM1.65, yang menawarkan potensi kenaikan 21% serta hasil dividen FY26 sekitar 4%.
Syarikat berkenaan tambah firma penyelidikan tersebut, mencatat keuntungan bersih teras RM7.8 juta bagi 9M25, susut 51% tahun ke tahun YoY, dan hanya memenuhi kira-kira 40% daripada unjuran awalnya.
"Prestasi lemah ini disumbangkan terutama segmen kejuruteraan, dan 2025 disifatkan sebagai tahun penyusunan semula aktiviti selepas beberapa projek besar menghampiri fasa penyiapan," katanya.
Bagi 3Q25, segmen kejuruteraan merekodkan kerugian selepas cukai RM7.4 juta, berbanding keuntungan RM11 juta pada setahun lalu, berikutan dua projek utama yang sudah memasuki peringkat akhir.
Kata RHB Research, kontrak tersebut berkaitan Sarawak Shell yang bernilai sebanyak RM300 juta dan pembinaan loji gas darat Rosmari & Marjoram dengan tendernya mencecah kira-kira RM112.6 juta.
Firma berkenaan turut menyatakan yang isu kelambatan pelancaran kontrak baharu daripada pelbagai syarikat minyak utama sepanjang tahun ini dikenal pasti menambahkan tekanan ke atas segmen itu.
"Sebaliknya, segmen pembuatan kembali pula menunjukkan prestasi yang kukuh, apabila ia berjaya mencatat keuntungan selepas cukai RM9.1 juta berbanding kerugian kecil pada 3QFY24," tambahnya.
Lonjakan prestasi ini jelas RHB Research, didorong oleh pembekalan paip keluli berlapis konkrit bagi keperluan beberapa projek loji rawatan air mentah di Sibu serta projek bekalan air bersih di Serian.
Pada akhir 3Q25, nilai buku pesanan KKB Engineering susut kepada RM85 juta berbanding RM127 juta pada 2Q25, namun buku tender melonjak kepada RM703.5 juta daripada RM231 juta pada suku sebelumnya.
Selain itu kata firma penyelidikan tersebut, syarikat berkenaan dalam proses tender RM1.2 bilion bagi kerja-kerja berkaitan minyak dan gas (O&G), dengan jangkaan keputusan bermula pada 4Q25 hingga 2026.
"Susulan keputusan kewangan lemah, kami menurunkan unjuran pendapatan FY25, FY26 dan FY27 masing-masing 14%, 11% dan 3%, termasuk anggaran pengurangan kemenangan kerja pada FY25," jelasnya.
Bagaimanapun RHB Research percaya KKB Engineering berada dalam posisi baik meraih manfaat daripada peningkatan peruntukan Persekutuan kepada Sarawak dalam Belanjawan 2026 yang bernilai RM6 bilion.
Antara pemangkin kenaikan termasuk kejayaan memperoleh projek baharu dalam fabrikasi O&G, yang kali terakhir pernah dimenanginya pada November 2023, serta peluang kerja bagi skim bekalan air Sabah.
Sebaliknya, firma tersebut memberi amaran antara risiko utama syarikat kejuruteraan berkenaan ialah kemungkinan berlaku kelewatan dalam kitaran pembaharuan kerja yang baharu. - DagangNews.com








