KJTS raih kontrak RM13.5 juta bagi projek pendingin hawa, pengudaraan di Hospital Pakar Cengild Kuala Lumpur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KJTS raih kontrak RM13.5 juta bagi projek pendingin hawa, pengudaraan di Hospital Pakar Cengild Kuala Lumpur

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac – KJTS Group Berhad melalui anak syarikatnya, KJ Technical Services Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM13.5 juta daripada BPL Engineering (M) Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan pendingin hawa dan ventilasi mekanikal di Hospital Pakar Cengild Kuala Lumpur.

 

Surat tawaran kontrak itu diterima pada 27 Februari 2026 dan menandakan pelantikan KJTS SB sebagai sub-kontraktor bagi projek tersebut. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata sebagai sub-kontraktor, KJTS SB bertanggungjawab melaksanakan skop kerja yang telah dipersetujui bersama BPL.

 

“Antara kerja yang akan dijalankan termasuk pembongkaran saluran udara dan peralatan pendingin hawa atau ventilasi mekanikal yang tidak digunakan. 

 

“Selain itu, KJTS SB juga akan membekal dan memasang sistem pendingin hawa serta ventilasi mekanikal baharu mengikut lukisan dan spesifikasi yang diluluskan,” katanya.

 

Kerja kontrak itu telah bermula pada 29 Januari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 28 September 2026, selaras dengan jadual yang ditetapkan dalam LOA.

 

KJTS berkata kotrak itu ini tidak akan menjejaskan modal saham atau struktur pemilikan syarikat. 

 

Kontrak tersebut dijangka memberi kesan positif terhadap keuntungan serta aset bersih KJTS sepanjang tempoh projek.

 

KJTS berkata tiada risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang wujud dalam pengurusan projek seumpama ini.

 

“Syarikat yakin bahawa semua risiko adalah terkawal dan berada dalam lingkungan perniagaan biasa. Pengarah dan pemegang saham besar KJTS tidak mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam projek ini.,” katanya. - DagangNews.com