KUALA LUMPUR 12 Mac — KJTS Group Berhad berpotensi meraih keuntungan RM3 juta setahun bagi tempoh 2026 hingga 2028 susulan pengambilalihan 70.7% ekuiti dalam iHandal Energy Solutions Berhad.
Menurut CIMB Securities, pengambilalihan itu disertakan jaminan keuntungan yang kukuh, sekali gus memberi sokongan kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut berkata, langkah strategik berkenaan dijangka melengkapkan kepakaran tenaga penyejukan KJTS melalui integrasi teknologi pemulihan haba buangan oleh iHandal.
"Gabungan ini membolehkan KJTS memperluaskan penawaran daripada model 'cooling-as-a-service' kepada rumusan tenaga lebih menyeluruh di bawah konsep 'energy-as-a-service (EaaS)'," katanya.
CIMB Securities turut melihat potensi jualan silang antara pangkalan pelanggan komersial KJTS dengan pelanggan industri iHandal, sekali gus membuka peluang pertumbuhan baharu kepada kumpulan.
Selain itu ujarnya, kumpulan ini dijangka mencatat prestasi kewangan kukuh pada tahun kewangan 2026, dipacu peningkatan sumbangan daripada kontrak baharu dan integrasi pengambilalihan iHandal.
Syarikat itu juga optimis untuk memperoleh banyak kontrak dalam segmen tenaga penyejukan melalui usaha sama (JV) Lestari Energy dan agensi pelaburan global Stonepeak dari Amerika Syarikat (AS).
Artikel berkaitan: KJ Technical Services ambil alih 70.67% kepentingan iHandal pada harga RM10.1 juta

"Kerjasama terbaharu ini turut sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap rumusan tenaga cekap di pasaran ekonomi utama serantau seperti Malaysia, Thailand dan Singapura," kata CIMB Securities.
Permintaan bagi perkhidmatan tenaga penyejukan di Thailand dan Singapura dijangka berkembang, disokong oleh penglibatan pelanggan, dasar tenaga serta peluang jualan silang yang semakin meluas.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, segmen tenaga penyejukan turut kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan KJTS pada FY25 dengan margin keuntungan kasar paling tinggi sebanyak 30.3%.
Ini diikuti segmen pengurusan fasiliti (21%) dan perkhidmatan pembersihan (16%), dengan CIMB Securities menilai KJTS di kedudukan strategik bagi memanfaatkan agenda peralihan tenaga negara.
"Di samping itu, kumpulan ini yang merupakan satu-satunya syarikat kecekapan tenaga 'pure-play' tersenarai di Bursa Malaysia, diramal terus mencatat keputusan kewangan lebih baik," tambahnya.
Antaranya jelas firma itu, menerusi kadar pertumbuhan purata terkumpul (CAGR) secara tahunan untuk pendapatan sesaham yang berpotensi mencecah sekitar 20.3% bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan unjuran hasil bagi FY26 hingga FY28 serta mengulangi saranan 'beli' terhadap saham KJTS dengan harga sasaran (TP) 12 bulan iaitu RM1.10 sesaham.
Unjuran itu berdasarkan penilaian 25 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan 2027, iaitu premium kira-kira 20% berbanding rakan setara global dalam sektor tenaga penyejukan. - DagangNews.com








