KUALA LUMPUR 22 April — KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) melaporkan peningkatan 51.9 peratus dalam pendapatan hartanah bersih (NPI) iaitu melonjak bagi suku ketiga FY25, mencecah RM27.48 juta, berbanding RM18.09 juta pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan tersebut katanya, didorong oleh prestasi lebih kukuh disumbangkan daripada pusat beli-belahnya dan beberapa aset yang baru diperoleh, termasuk D’Pulze dan TF Value di Perak serta aset perindustrian CR35.
Walaupun tanpa pengambilalihan hartanah baharu, portfolio KIP REIT yang sedia ada pula menyaksikan pertumbuhan kukuh sebanyak 23.3 peratus tahun ke tahun.
Hasil bagi suku tersebut meningkat 61.1 peratus kepada RM39.54 juta, disokong oleh kadar penghunian yang tinggi sebanyak 97.2 peratus dengan portfolio segmen runcitnya menyumbang 95.6 peratus daripada jumlah hasil.
Firma hartanah amanah berkenaan turut mengisytiharkan pengagihan seunit (DPU) sebanyak 1.60 sen, selaras dengan kadar tahun lepas.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih meningkat 33.8 peratus, mencecah sebanyak RM68.77 juta, manakala hasil terkumpul bertaambah 38.4 peratus kepada RM96.24 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Valerie Ong menyatakan keyakinan masa depan, dengan menonjolkan sumbangan yang dijangka daripada pengambilalihan baru-baru ini serta usaha berterusan untuk menambah baik strategi pajakan dan operasi.
KIP REIT katanya, akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan kehadirannya di kawasan kejiranan yang berpaksikan komuniti dan komited untuk mengembangkan portfolio dengan fokus kepada kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com








