Kilang tenusu di Gemas dijangka pacu pertumbuhan F&N 2026 - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kilang tenusu di Gemas dijangka pacu pertumbuhan F&N 2026 - CGS International

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 2 NovF&N Malaysia Bhd (F&N) dijangka mencatat prestasi lebih cemerlang menjelang 2026 berikutan pelancaran operasi komersial kilang tenusu baharunya, F&N AgriValley, di Gemas, yang dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan pendapatan dan harga saham syarikat.

 

Menurut CGS International (CGSI), kilang baharu iu dijangka membolehkan F&N mengambil peluang daripada pasaran import tenusu Malaysia bernilai AS$1.2 bilion pada 2024, di mana susu dan krim menyumbang 58% daripada jumlah tersebut.

 

"Ini membuka ruang besar bagi pengeluaran domestik untuk menggantikan import, terutamanya dalam segmen mentega, yang dikenal pasti pengurusan F&N sebagai fokus utama," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

CGS berkata, pengurusan juga menjangkakan pengurangan kerugian daripada operasi ladang tenusu akan berlaku bermula 2QFY9/26F, sekali gus memberi ruang untuk kenaikan unjuran konsensus dan penilaian saham.

 

Peningkatan aliran tunai bebas (FCF) kumulatif sebanyak RM1.6 bilion antara FY26–28F juga dijangka menyokong kadar pembayaran dividen yang lebih tinggi bermula FY27F.

 

Sehubungan itu CGSI mengekalkan saranan Tambah dengan harga sasaran baharu RM41.60, meningkat daripada RM37.00, berdasarkan model GGM yang mengambil kira keuntungan bersih lebih tinggi, kadar cukai yang lebih rendah serta peningkatan pembayaran dividen FY27F/28F masing-masing sebanyak 50% dan 60%.

 

“Kilang tenusu di Gemas bukan sahaja akan mengurangkan kebergantungan kepada import, malah berpotensi meningkatkan margin keuntungan F&N melalui produk bernilai tinggi seperti mentega,” kata firma itu lagi.

 

Kini, saham F&N diniagakan pada 20.3x CY26F P/E, masih lebih rendah berbanding rakan sama dalam sektor pengguna asas yang melebihi 30x, manakala hasil dividen CY26F sebanyak 2.4% berada di hujung atas julat rakan sejenis.

 

Pada harga sasaran, F&N dijangka diniagakan pada 25.2x FY27F P/E, sedikit di atas julat selepas 2014 tetapi masih menawarkan diskaun berbanding rakan sejenis.

 

Menurut CGSI, risiko utama termasuk sebarang kelewatan atau masalah operasi di ladang tenusu yang boleh menjejaskan keuntungan, kenaikan kos bahan mentah, serta faktor luaran yang menjejaskan sentimen pengguna. - DagangNews.com